Wasiyyah Shoppe perkenalkan Amanah Keluarga Al Mutahabbah | DagangNews Skip to main content

Wasiyyah Shoppe perkenalkan Amanah Keluarga Al Mutahabbah

 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com
 

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah terbesar di Malaysia dari segi aset pelanggan yang bakal diuruskan selepas kematian, hari ini mengumumkan pelancaran semula perkhidmatan amanah keluarganya yang dinamakan Al Mutahabbah kepada umat Islam di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, perkhidmatan ini mula diperkenalkan Wasiyyah Shoppe Berhad pada 2018 namun dengan perkembangan semasa, ia diperkemaskan lagi dengan pengenalan beberapa ciri yang lebih menarik dan fleksibel namun lebih berkuatkuasa dari segi undang-undang.

ariffinsabirin
                       Ariffin Sabirin

 

Peranan dan tanggungjawab Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai syarikat amanah yang diberi kuasa melalui Akta Pemegang Amanah 1949, juga digunakan sepenuhnya bagi menjayakan modul perkhidmatan Al Mutahabbah.   

 

Al Mutahabbah ialah perkhidmatan bersifat hibrid yang dibangunkan Wasiyyah Shoppe Berhad khusus untuk segmen pasaran yang bukan sahaja mahukan hartanya diagihkan kepada pihak yang dikehendaki, malah segmen pasaran ini juga inginkan sebahagian harta mereka diurus dan dilaburkan secara profesional. 

 

Perkhidmatan Al Mutahabbah ini menggabungkan unsur perancangan harta mengikut undang-undang Syariah, undang-undang Sivil dan metodologi pengurusan harta kontemporari dan profesional berlandaskan undang-undang berkenaan.

 

"Kami dapat  melihat segmen pasaran ini berkembang dengan drastik sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kalau dahulu tidak ramai orang Islam yang faham tentang perkhidmatan seperti  ini, sekarang mereka mulai terbuka untuk  melihat peluang bagaimana harta mereka boleh dilabur dan dikembangkan supaya memberi manfaat kepada generasi mereka pada masa akan datang. Mereka juga mahu supaya hasil harta ini boleh digunakan bagi tujuan amal jariah berpanjangan selepas mereka meninggal dunia,” kata Ariffin dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Beliau berkata, metodologi kebanyakan pemain pasaran di Malaysia ketika ini masih lagi mengenai bagaimana harta pelanggan diagihkan mengikut instrumen seperti  hibah, wasiat, harta sepencarian atau amanah.

 

"Wasiyyah Shoppe Berhad mengorak langkah berani dengan memenuhi keperluan unik segmen pasaran ini yang belum diterokai oleh mana-mana pihak di Malaysia sebelum ini,'' kata beliau.

 

Menurut Ariffin lagi, kaedah amanah keluarga ini telah banyak diamalkan di negara-negara maju namun masih sangat baru di Malaysia. Wasiyyah Shoppe Berhad beraspirasi untuk mewujudkan budaya amanah keluarga ini di Malaysia sepertimana kejayaannya memperkenalkan budaya hibah di Malaysia semenjak 2004.

 

"Kebiasaannya hubungan waris-waris mulai renggang apabila mereka telah menerima bahagian masing-masing dari harta pusaka yang ditinggalkan.

 

"Kebaikan utama Al Mutahabbah Wasiyyah Shoppe Berhad ialah waris-waris akan kekal mempunyai hubungan yang rapat dan baik selepas kematian ibu atau bapa kerana mereka perlu kerap berjumpa dan bermesyuarat bagi melaksanakan tanggungjawab bersama yang telah ditetapkan oleh ibubapa mereka dalam dalam hal berkaitan pengurusan harta yang ditinggalkan,'' ujarnya.

 

Bagi tahun kewangannya yang bakal berakhir pada Jun 2021, Wasiyyah Shoppe menyasarkan 20% dari pendapatan tahunannya akan datang dari hasil jualan perkhidmatan ini. - DagangNews.com