WCT mampu kukuhkan kedudukan di Sabah, MIDF kekal saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

WCT mampu kukuhkan kedudukan di Sabah, MIDF kekal saranan 'beli'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - WCT Holdings Bhd. berupaya mengukuhkan kehadirannya di Sabah menerusi pengambilalihan hak pembangunan membabitkan tanah seluas 411.4 ekar di Lok Kawi. 

 

Sebelum ini, projek pembangunan kumpulan banyak tertumpu di sekitar Lembah Klang dan Johor.  

 

Melihat kepada prospeknya yang kekal menyakinkan ini, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas sahamnya dengan harga sasaran disemak semula lebih tinggi pada 80 sen berbanding 68 sen sebelum ini. 

 

Semalam, WCT mengumumkan anak syarikat milik penuh tidak langsung dengan 80%, WCT Perkasa Sdn. Bhd. memeterai urus niaga dengan Yayasan Sabah bagi pilihan memperoleh hak pembangunan ke atas tanah tersebut, yang terdiri daripada pelbagai bidang untuk melaksanakan pembangunan bercampur secara berperingkat.

 

Penganalisis MIDF Research, Ummar Fitri berkata, sebelum ini, WCT telah melengkapkan projek pembangunan hartanah di Kota Kinabalu, d’Banyan Residency @ Sutera. 

 

"Tambahan pula, dengan pengambilalihan ini, akan menambah bank tanah sedia ada di Inanam, seluas 22 ekar sekali gus mengukuhkan kedudukan WCT dalam pasaran hartanah di negeri ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu tidak membuat sebarang perubahan bagi unjuran pendapatan memandangkan projek itu mempunyai hasil bagi tempoh sederhana dan panjang.

 

Ummar juga optimis dengan prospek pendapatan kumpulan dengan menjangkakan nilai kontrak yang kukuh dan kerja-kerja kembali beroperasi seperti dilihat dalam hasil sukuan yang kembali pulih.

 

Selain itu, menurutnya, prospek jangka masa panjang kumpulan turut disokong oleh nilai projek kira-kira RM5 bilion yang mampu menampung pendapatan kumpulan bagi tempoh 3 hingga 4 tahun akan datang.

 

"Pada masa sama, jualan hartanah juga dianggarkan lebih tinggi didorong oleh persekitaran yang akomodatif dan beberapa pelancaran baharu terutama di kawasan strategik di samping lanjutan Kempen Pemilikan Rumah," tambahnya. - DagangNews.com