UPM gilap bakat kepimpinan murid sekolah rendah menerusi Program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Kepimpinan Jati Diri  | DagangNews Skip to main content

UPM gilap bakat kepimpinan murid sekolah rendah menerusi Program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Kepimpinan Jati Diri 

Seramai 100 pelajar sekolah rendah menyertai Program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Kepimpinan Jati Diri anjuran UPM di Chenor, Pahang pada 14 hingga 16 Julai 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai -  Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) menganjurkan Program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Kepimpinan Jati Diri membabitkan tiga buah sekolah rendah di daerah Chenor, Pahang pada 14 hingga 16 Julai 2023.

 

UPM berkata, program tersebut merupakan inisiatif menggilap bakat kepimpinan dalam kalangan murid sekolah rendah sekali gus memupuk semangat jati diri dan patriotisme sebagai generasi pelapis masa hadapan negara.

 

Katanya, program hasil kerjasama strategik antara PKPP, UPM dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lada itu melibatkan penyertaan seramai 100 murid tahap dua dalam kalangan pengawas sekolah, pengawas perpustakaan, pengawas surau, pengawas makmal dan ketua kelas daripada tiga buah sekolah, termasuk SK Bukit Lada, SK Bukit Bota dan SK Sekara.

 

"Program berpaksikan elemen pemindahan ilmu dari universiti kepada masyarakat ini diadakan bagi membantu mencungkil dan mengasah bakat kepimpinan pelajar melalui pendekatan teori dan praktikal menggunakan kaedah latihan dalam kumpulan.

 

"Ia berjaya dikendalikan dengan lancar melalui penglibatan barisan fasilitator daripada 24 pelajar ahli Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN) UPM yang melaksanakan pelbagai aktiviti dan permainan bercirikan kepimpinan berbentuk latihan dalam kumpulan. 

 

"Antara modul menarik yang dilaksanakan ialah, Saya Seorang Pemimpin, Kotak Beracun, Bicara Berantai dan Kembara Kepimpinan," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut kenyataan itu, penganjuran program seperti ini selari dengan sasaran matlamat Pelan Strategik UPM 2021-2025 serta matlamat pendidikan, iaitu melahirkan graduan bitara yang holsistik, ihsan, patriotisme dan berdaya tahan. 

 

 

upm

 

 

"Melalui program seperti ini pelajar dapat turun padang untuk berbakti kepada masyarakat berpaksikan motto UPM, 'Berilmu Berbakti'. 

 

"Inisiatif PKPP ini juga seiring dengan rukun ihsan masyarakat Madani, iaitu mengambil peduli dan membantu anggota masyarakat sekali gus menyumbang kepada pembentukan negara Madani yang dihasratkan," katanya.

 

 

upm

 

 

Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Prof Madya Dr Omrah Hassan @Hussin turut mengingatkan semua murid bahawa pelbagai aktiviti permainan dan latihan dalam kumpulan yang dilaksanakan boleh dijadikan platform menambahkan pengetahuan serta kemahiran tentang aspek kepimpinan dan diharap dapat membantu mereka menjadi pemimpin yang hebat.

 

 

upm

 

 

upm

 

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Maran, Mohd Ariffin Ab Rahman, menzahirkan penghargaan kepada UPM, khususnya PKPP atas inisiatif turun padang bagi membantu meningkatkan kecemerlangan kepimpinan dan sahsiah murid sekali gus memperkasa minat murid untuk menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.

 

Program berkonsepkan kem kepimpinan ini adalah pelengkap kepada tiga siri program yang telah dirancang yang mana siri pertama berkonsepkan kem bahasa Inggeris diadakan pada Oktober tahun lalu dan siri kedua berkonsepkan kem eksplorasi Sains diadakan pada Februari 2023. - DagangNews.com