Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman kini Pengerusi Ingenieur Gudang | DagangNews Skip to main content

Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman kini Pengerusi Ingenieur Gudang

Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman

KUALA LUMPUR 27 Okt - Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, pengarah bebas Ingenieur Gudang Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai Dynaciate Group Bhd, telah dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif pengeluar produk keluli itu.

 

Mohd Khairul Adib, 60, menyertai lembaga pengarah Ingenieur Gudang sebagai pengarah bebas pada 13 Oktober lepas, kata syarikat dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Beliau kali terakhir berkhidmat sebagai ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam mulai 1 Oktober 2019, sebelum bersara daripada perkhidmatan awam Malaysia pada Januari tahun ini. Sebelum itu, beliau adalah ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan.

 

Ingenieur Gudang berkata Mohd Khairul Adib memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada 1988, berkhidmat di pelbagai kementerian selama 34 tahun termasuk kementerian sains, teknologi dan alam sekitar, dan pendidikan, serta misi Malaysia ke Tokyo dan London.

 

Beliau juga pernah menjadi ahli lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Suruhanjaya Penerbangan, Prasarana Malaysia Bhd, Keretapi Tanah Melayu Bhd dan Malaysia Airports Holdings Bhd.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Ketua Pengarah JPA dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Ingenieur Gudang Bhd

 

Pada masa ini, beliau menganggotai lembaga pengarah Westports Holdings Bhd, MMAG Holdings Bhd, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Agensi Kelayakan Malaysia. - DagangNews.com