Tourism Selangor sasar 7 juta pelancong menjelang 2025 | DagangNews Skip to main content

Tourism Selangor sasar 7 juta pelancong menjelang 2025

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Mac - Selaras misi untuk mencapai sasaran 7 juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025, Tourism Selangor bersedia mempamerkan produk terbaik di MATTA Fair 2024 bagi edisi Mac. 

 

Tourism Selangor memaklumkan, penyertaan itu membawa 17 tarikan pelancongan di seluruh Selangor dan menawarkan diskaun hebat sehingga 50% di taman tema, resort, tarikan ekopelancongan dan agropelancongan. 

 

Katanya, acara tersebut berlangsung dari 22 hingga 24 Mac 2024 di di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini dan menjangkakan kedatangan lebih 25,000 pengunjung.

 

"Bertemakan 'Jom Balik Kampung', Pavilion Selangor mencipta semula suasana di sawah padi Sekinchan di tengah bandar Kuala Lumpur yang pesat. 

 

"Pameran tahun ini tertumpu kepada Anjung Utara Negeri Selangor, dengan Sabak Bernam dan Kuala Selangor dijangka menarik perhatian pengunjung," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, antara tarikan-tarikan pelancongan yang akan dibawa pada tahun ini seperti Bas Pelancongan Selangor Hop On Hop off, Rumah Hutan Terapi Alam, GL Play, Muzium Coklat, Hotel Eastin, Avani Sepang Goldcoast Resort, Jumpstreet Asia, Farm in the City, Sky Mirror, Farm Fresh @ UPM, Selangor Fruit Valley, Wet World Shah Alam, KSL Esplanade Hotel, Cyberview Resort & Spa, Nur Lembah Pangsun dan Kacang Tumbuk Heritaste. 

 

Katanya, tarikan pelancongan yang dibawa merupakan terbaik di Selangor daripada taman tema menyeronokkan, pusat peranginan dan usaha-usaha agropelancongan inovatif. 

 

 

tourism

 

 

"Persembahan wau kapal Selangor oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dan demonstrasi kacang tumbuk Heritaste juga akan turut dibawakan. Penyertaan Heritaste buat kali pertama merupakan salah satu usaha mempromosikan industri kecil sederhana di Selangor yang memainkan peranan yang penting dalam ekonomi negeri," katanya.

 

Katanya, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), tema tahun ini menekankan kepentingan produk pelancongan tempatan dan pelancongan berasaskan komuniti di Selangor. 

 

 

tourism

 

 

"Kerajaan Negeri Selangor melantik 22 Hos Komuniti Selangor sejak 2018 dengan pelbagai tarikan diperkenalkan untuk memupuk kitaran ekonomi yang saksama dan mampan untuk masyarakat sekitar. 

 

"Jungle School Gombak juga akan dipamerkan sepanjang 3 hari acara berlangsung, sebagai salah satu sokongan kepada inisiatif kelestarian yang dibangunkan oleh Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA)," katanya.

 

 

tourism

 

 

tourism

 

 

Tambahnya, sokongan Tourism Selangor di Pameran MATTA 2024 pada Ramadan ini merupakan salah satu komitmen untuk mempromosikan pelancongan mampan sambil menyokong ekonomi Selangor. - DagangNews.com