Shahira Ahmed Bazari tamatkan tempoh khidmat sebagai  Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah selepas 9 tahun | DagangNews Skip to main content

Shahira Ahmed Bazari tamatkan tempoh khidmat sebagai  Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah selepas 9 tahun

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 19 April - Yayasan Hasanah, cabang kebajikan Khazanah Nasional Berhad hari ini, mengumumkan  Pemegang Amanah dan Pengarah Urusannya, Dato’ Shahira Ahmed Bazari, akan menamatkan tempoh perkhidmatannya berkuat kuasa 1 Mei 2024 selepas menerajui jawatan itu sejak 9 tahun lalu.

 

Shahira akan mengambil alih peranan baharu dengan Khazanah manakala Pengarah Urusan baharu akan diumumkan dalam masa yang ditetapkan.

 

Dalam kenyataan media hari ini, Yayasan Hasanah menyifatkan sumbangan khidmat Shahira telah memberi impak yang besar kepada negara di seluruh lima bidang tumpuan yayasan tersebut.

 

Semasa kemuncak pandemik COVID-19, Shahira dan pasukan perkongsian awam-swasta-dermawan yang diselaraskan menghasilkan rekod 5x lebih pembiayaan kepada masyarakat yang memerlukan.

 

Di bawah kepimpinan Shahira, Hasanah telah mengagihkan RM1.5 bilion geran kepada lebih 700 projek di seluruh negara, menjangkau 2.9 juta orang di Malaysia.

 

Shahira juga memainkan peranan penting dalam mengubah ekosistem impak sosial Malaysia dengan pendekatan berpandangan ke hadapan dalam kedermawanan, pelaburan sosial, pengukuran impak, dan pelbagai model inovasi sosial.

 

Tan Sri Md Nor Yusof, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Hasanah berkata, Yayasan telah berkembang daripada sekadar unit CSR Khazanah yang dipacu derma hingga menjadi institusi dermawan yang diiktiraf.

 

"Kami mendoakan semoga Shahira berjaya dalam usaha seterusnya,” kata beliau.  - DagangNews.com