TIGA LANGKAH MUDAH ELAK PUSAKA BERMASALAH | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 14 Sep 2020 08:32 AM
wasi3


TIGA LANGKAH MUDAH ELAK PUSAKA BERMASALAH

 

Apa cara untuk elakkan harta pusaka kita dari bermasalah selepas kematian kita ? Ini soalan yang kerap ditanya kepada saya. Kelihatannya hari ini banyak betul kes pusaka yang bermasalah yang muncul dalam media perdana dan media sosial. Dari pengalaman 22 tahun saya, ada banyak faktor yang menyebabkan pusaka bermasalah. Dalam penulisan sebelum ini saya sudah jelaskan.

Kali ini saya nak kongsi pula tiga langkah mudah bagaimana kita nak mengelakkan pusaka kita dari menimbulkan pelbagai masalah kepada waris selepas kematian kita. Anda ambil langkah-langkah ini, Insya-Allah pusaka anda dapat diwariskan dengan mudah dan tepat.

Langkah pertama ialah kenali dahulu siapa waris faraid anda. Ini perkara yang paling asas yang mesti kita tahu. Ramai di antara kita langsung tidak faham atau tidak tahu siapakah waris mengikut hukum faraid kita. Sepanjang 22 tahun bekerja dalam bidang ini, sangat jarang saya berjumpa 2 orang berbeza mempunyai struktur faraid yang sama. Semua orang berbeza struktur faraidnya kerana struktur keluarga kita berbeza. Banyak pihak menganjurkan pelbagai seminar dan kursus faraid hari ini. Ambillah masa menghadirinya dan belajarlah.  

Jadi bila berlaku kematian, ramai dalam kalangan pasangan dan anak-anak terperanjat bila mengetahui orang yang tak dijangka-jangka pun ada hak ke atas harta simati. Saya pernah bertemu kes sepupu berhak ke atas harta pusaka simati. Ceritanya si ayah meninggal dunia pada 2000 meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan. Ibubapa simati telah lama meninggal dunia. Si mati juga ada meninggakan seorang adik lelaki.

Semasa meninggal dunia tahun 2000 itu, bahagian faraid yang berhak ke atas harta pusakanya termasuk sebuah rumah banglo bernilai RM3 juta, ialah isteri 2/16, anak perempuan 8/16 dan adik lelakinya sebanyak 6/16 bahagian.

Belum sempat diuruskan harta pusaka itu, adik lelakinya pula meninggal dunia. Waris tunggal adik lelaki itu ialah anak lelakinya. Maka anak lelaki itulah yang kini mewarisi bahagian 6/16 milik ayahnya. Keadaan tambah kusut bila anak lelaki ini berkeras inginkan bahagian miliknya itu ditebus oleh ibu saudaranya jika mahukan dia melepaskan bahagiannya. Nilai bahagian itu kini RM1.125 juta ! Ini cara sepupu dapat bahagian.

Atas sebab itu saya katakan perkara asas dalam merancang harta ialah faham struktur faraid anda dan kenal pasti risiko-risiko yang mungkin wujud dari struktur faraid itu. Hukum faraid itu memang sudah sempurna dan hukum terbaik untuk kita namun waris-waris mungkin tidak memahami hikmahnya.

Langkah kedua ialah dengan merancang harta mengikut keperluan anda. Ada orang mahukan semua hartanya diwarisi oleh waris tertentu sahaja. Ada juga orang yang mahukan dibahagikan sama rata di antara anak lelaki dan perempuan. Tidak kurang juga orang yang mahukan hartanya hanya sebahagian diwariskan manakala bakinya dilaburkan dan pulangan pelaburan itu diagihkan bagi tujuan infaq atau tujuan-tujuan lain. Semua orang ada tujuan sendiri bagaimana hartanya dilaburkan.

Begitu juga portfolio harta yang berbeza memerlukan kaedah pengurusan tertentu. 20 tahun lepas, kebanyakan orang yang meninggal dunia hartanya hanya terdiri dari akaun di bank, kenderaan dan hartanah. Hari ini portfolio masyarakat lebih rencam. Ada orang ada akaun pelaburan CDS di Bursa Malaysia, ada saham syarikat, ada pelaburan RPS, ada saham amanah, takaful termasuklah  pelaburan saham dan hartanah di luar negara. Kehadiran harta yang pelbagai ini menyebabkan kaedah perancangan harta juga jadi semakin komplikated. Kerana itulah di Wasiyyah Shoppe Berhad kami menawarkan 35 jenis Perkhidmatan perancangan harta yang berbeza bagi memenuhi pelbagai keperluan umat Islam Malaysia.

Pastikan anda memilih kaedah yang benar-benar tepat baik dari segi undang-undang Syariah mahupun Sivil bagi memastikan hasrat pembahagian anda yang pelbagai itu dapat dikuatkuasakan.
 

aaa


Langkah ketiga yang juga tidak kurang pentingnya ialah memastikan anda memilih organisasi yang tepat untuk menyedia dan melaksanakan  dokumen perancangan harta anda. Kerana permintaan masyarakat yang semakin tinggi, wujud pelbagai organisasi dan individu di luar sana yang mempromosikan bahawa mereka juga boleh membantu menyediakan dokumen perancangan harta seperti hibah, wasiat, harta sepencarian dan amanah.

Saranan saya, siasatlah dulu organisasi yang anda ingin berurusan. Periksa dulu latar belakang mereka di Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Berapakah modal berbayar mereka? Adakah mereka mempunyai rekod perakaunan yang telah diaudit? Berapa lamakah mereka telah beroperasi?  Adakah Lembaga pengarah mereka terdiri dari individu profesional yang berkelayakan? Jika mereka mengaku membuat dokumen perancangan harta secara syariah, adakah mereka mempunyai panel syariah yang berwibawa?

Adakah peneraju syarikat itu merupakan orang yang namanya berdaftar dalam rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia sama ada sebagai Pemegang saham, pengarah atau Ketua Pegawai Eksekutif? Jika tiada, maka ada isu integriti yang perlu anda beri perhatian. Ketiadaan nama mereka bermakna mereka ada sesuatu yang disorokkan dan mereka tidak akan berakauntabiliti terhadap apa yang mereka dakwa boleh dilaksanakan oleh syarikat.

Di Wasiyyah Shoppe Berhad, saya Ketua Pegawai Eksekutif yang pelantikannya melalui proses saringan ketat undang-undang dan ditemuduga oleh 5 panel penemuduga Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi memastikan saya calon layak dan benar-benar faham tanggungjawab saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat amanah. Hanya selepas saya lulus temuduga, saya dilantik secara rasmi oleh Wasiyyah Shoppe Berhad. Saya juga merupakan seorang pengarah yang namanya tercatat dalam rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Paling penting, adakah syarikat-syarikat yang anda ingin berurusan  ini mempunyai punca kuasa untuk bertindak sebagai pentadbir harta pusaka atau Pemegang amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad yang memang berdaftar sebagai syarikat amanah dan beroperasi mengikut punca kuasa yang diperuntukkan kepadanya melalui Akta Pemegang Amanah 1949.

Masyarakat perlu faham bahawa dokumen perancangan harta yang dibuat ini bersifat jangka panjang. Dokumennya dibuat hari ini tetapi pelaksanaannya akan berlaku selepas kematian kita. Mungkin 10, 20 atau 50 tahun akan datang.

Kalau tukang buat dokumen anda sudahpun mati lebih awal dari anda atau sudah tutup kedai, siapakah yang nak membantu pelaksanaan dokumen perancangan harta anda bila anda mati nanti? Kasihan waris-waris.

Walaupun anda sudah buat dokumen semasa hidup, mereka tetap akan terkapai-kapai kesesatan dalam terang kerana tiada pihak yang boleh membantu mereka menuntut apa yang berhak ke atas mereka. Renungkan baik-baik 3 langkah ini bagi memastikan pusaka anda tidak bermasalah.    
 

aaa
Ariffin Sabirin adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad. Untuk maklumat lanjut mengenai pengurusan harta secara Syariah sila klik di sini: Wasiyyah Shoppe

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

Balu selalu tertindas bab pusaka?

APA SEBENARNYA PUNCA MASALAH HARTA PUSAKA TERBEKU DI MALAYSIA?
Kita tinggalkan PUSAKA atau PUAKA?

"WARIS AKU CONFIRMED TAK GADUH PUNYA!"

RAMAI ORANG ISLAM TIDAK TAHU DIA SEDANG MENGALAMI KERUGIAN

APA YANG KECOH SANGAT PASAL PUSAKA NI?