1,704 hilang kerja di Selangor | DagangNews Skip to main content

1,704 hilang kerja di Selangor

Hilang kerja

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Jumlah kes kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia pada awal 2021 tertumpu kepada negeri-negeri yang mempunyai kepadatan penduduk.

 

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, berdasarkan kepada laporan kes di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), negeri berkepadatan penduduk juga mencatatkan jumlah individu paling ramai yang berjaya mendapatkan pekerjaan.

 

"Sama seperti trend pada tahun 2020, kes kehilangan pekerjaan pada awal tahun 2021 juga tertumpu kepada negeri-negeri yang mempunyai kepadatan penduduk seperti Selangor (1,704), Kuala Lumpur (1,313) dan Johor (373). 

 

"Negeri-negeri ini juga merupakan pusat aktiviti-aktiviti ekonomi seperti sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan. 

 

"Jumlah individu yang berjaya mendapat pekerjaan juga banyak di negeri-negeri tersebut memandangkan ramai majikan yang beroperasi di bandar-bandar utama seperti dI Lembah Klang, Shah Alam, Petaling Jaya dan Johor Bahru," jelas Perkeso.

 

.

 

Jumlah tersebut dicatatkan dalam Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) kehilangan pekerjaan mengikut negeri hingga 15 Januari 2021 yang dikeluarkan Perkeso semalam.

 

Tambah Perkeso, semua pekerja yang kehilangan pekerjaan boleh mendapatkan bantuan kewangan sekiranya memenuhi syarat dan pencarian pekerjaan daripada SIP Perkeso.

 

Sementara itu, dalam laporan status pasaran buruh semasa yang direkodkan portal MYFutureJobs semalam, sebanyak 880 jumlah kekosongan jawatan baharu yang didaftarkan oleh majikan.

 

.

 

Terengganu mencatatkan rekod tertinggi  iaitu sebanyak 284 kekosongan jawatan, diikuti Selangor sebanyak 133 kekosongan dan Kuala Lumpur sebanyak 123 kekosongan.

 

Bagaimanapun, Perlis, Labuan dan Putrajaya tidak mencatatkan sebarang rekod kekosongan jawatan.

 

.

 

"Tiada rekod jawatan kosong  baru yang dicatatkan di Negeri Perlis, Labuan dan Putrajaya.

 

"Seramai 138 individu kehilangan pekerjaan  manakala 437 yang lain berjaya mendapat pekerjaan," tambah Perkeso lagi. - DagangNews.com