Harga eksport Malaysia naik 1.7% pada Mac 2024 disumbang indeks minyak lebih tinggi - DOSM | DagangNews Skip to main content

Harga eksport Malaysia naik 1.7% pada Mac 2024 disumbang indeks minyak lebih tinggi - DOSM

Peningkatan harga eksport disumbangkan antaranya kenaikan indeks minyak galian (+4.7%) dan minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+3.5%). - Gambar NAIM AZIZ / DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 April - Harga eksport Malaysia pada Mac 2024 meningkat 1.7% kepada 149.8 mata daripada 147.3 mata pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan ini disumbangkan kenaikan indeks minyak galian (+4.7%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+3.5%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.6%). 

 

"Begitu juga, indeks volum eksport menokok 13.6 peratus selaras dengan peningkatan indeks bahan mentah tidak boleh dimakan (+31.3%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+24.6%) dan pelbagai barang keluaran kilang (+19.0%). 

 

"Indeks volum eksport pelarasan bermusim menguncup 2.5 peratus daripada 156.8 mata kepada 152.9 mata. Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit bertambah 5.1 peratus manakala indeks volum berkurang 5.6 peratus,” katanya hari ini.

 

dosm

 

Laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri (2010=100) pada Mac 2024 yang diterbitkan DOSM itu turut menyaksikan harga import bertambah 0.1 peratus daripada 129.9 mata kepada 130.0 mata.

 

Terma perdagangan Malaysia pula menokok 1.6 peratus bulan ke bulan kepada 115.2 mata, lapor penerbitan berkenaan yang memaparkan statistik indeks nilai seunit, indeks volum dan terma perdagangan meliputi 10 seksyen komoditi produk barangan.

 

Ini selaras dengan Klasifikasi Standard Perdagangan Antarabangsa (SITC).

 

uzir
DR MOHD UZIR MAHIDIN

 

Menurut Dr Mohd Uzir, indeks nilai seunit import meningkat secara marginal 0.1 peratus pada Mac 2024 disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak galian (+1.6%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+0.7%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.1%). 

 

Katanya, indeks volum import turut naik 15.6 peratus pada Mac 2024 berbanding Februari 2024, disumbangkan oleh kenaikan dalam indeks makanan (+23.9%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+20.5%) dan minyak galian (+17.3%). 

 

"Indeks volum import pelarasan bermusim susut 0.8 peratus daripada 193.7 mata kepada 192.1 mata.

 

"Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit dan indeks volum import masing-masing berkembang 0.6 peratus dan 11.8 peratus," jelasnya.

 

Di samping itu, kata beliau, terma perdagangan Malaysia menokok 1.6 peratus bulan ke bulan kepada 115.2 mata pada Mac 2024, didorong oleh kenaikan indeks minyak galian (+3.1%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+2.8%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+1.2%). 

 

"Terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun naik 4.4 peratus daripada 112.4 mata pada Mac tahun lalu," katanya. - DagangNews.com