Harga koko tinggi berpotensi beri pulangan besar kepada lebih 5,000 pekebun kecil koko - Johari Ghani | DagangNews Skip to main content

Harga koko tinggi berpotensi beri pulangan besar kepada lebih 5,000 pekebun kecil koko - Johari Ghani

Johari Abdul Ghani ketika melawat Lembaga Koko Malaysia Januari lalu. /Gambar FB Johari Abdul Ghani
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Mei - Kerajaan akan menyalurkan peruntukan RM9.5 juta untuk pelaksanaan projek penanaman koko dan pemulihan ladang koko.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penanaman koko baharu akan meliputi kawasan seluas 350 hektar manakala projek pemulihan ladang koko akan merangkumi kawasan seluas 2,126 hektar.

 

"Koko (yang tinggi harganya ketika ini) mempunyai potensi untuk memberikan pulangan yang besar kepada 5,317 pekebun kecil yang menyumbang 89 peratus (5,445 hektar) daripada kawasan penanaman koko di Malaysia.

 

"Saya sangat menggalakkan pekebun kecil untuk memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan pengeluaran koko Malaysia dan pada masa yang sama menghasilkan pendapatan," katanya semasa pelancaran Nestle KitKat Dark Borneo di Nilai hari ini.

 

Menurut beliau, apabila pekebun mendapat manfaat daripada projek penanaman semula, beliau berharap eksport koko negara akan lebih baik kerana tidak lagi perlu mengimport koko dari negara lain.

 

"Lembaga Koko Malaysia (LKM) akan mengawasi pelaksanaan projek-projek ini dan membantu pekebun mengatasi sebarang isu yang melibatkan penanaman koko," katanya

 

KOKO

 

Memetik laporan, Malaysia pada satu ketika dahulu pernah menghasilkan sehingga 225,000 metrik tan berbanding sekarang hanya sekitar 500 metrik tan sahaja.

 

Johari dalam pada itu yakin bahawa industri koko mempunyai potensi besar untuk menghasilkan pendapatan tinggi bagi ekonomi negara. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Lonjakan harga koko global jejas rantaian bekalan syarikat coklat tempatan

 

Beliau menyatakan bahawa ini disokong oleh dua faktor utama iaitu Malaysia menjadi antara pemain utama dalam industri koko secara global terutamanya dalam sektor huluan dan hiliran, serta industri koko memiliki potensi besar disebabkan harga koko yang tinggi.

 

Sementara itu, selari dengan usaha berterusan untuk memuktamadkan rantaian bekalan bahan mentahnya, Nestlé Malaysia Bhd memperkenalkan KitKat Dark Borneo, yang dihasilkan secara eksklusif menggunakan biji koko yang ditanam di Sabah dan Sarawak.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé, Juan Aranols, menyatakan bahawa pelancaran ini merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat untuk memajukan penggunaan bahan mentah tempatan dan lestari melalui program Nestlé Malaysia's Farmer Connect, yang kini telah berkembang ke Sabah dan Sarawak.

 

Aranols mengatakan pendekatan syarikat termasuk pelaksanaan amalan pertanian regeneratif seperti agroforestri dan penanaman selang selama yang membantu memastikan kesihatan tanah dalam jangka panjang, serta mengembangkan hasil tanaman, yang membantu meningkatkan pendapatan petani tempatan.

 

"Kami percaya bahawa KitKat Dark Borneo, selain daripada coklat yang sedap dan berkualiti tinggi, adalah satu contoh bagaimana kerjasama awam-swasta boleh membawa perubahan positif dan peluang pembangunan ekonomi yang lebih baik untuk komuniti tempatan," katanya.- DagangNews.com