1MDB : Deloitte capai penyelesaian AS$80 juta | DagangNews Skip to main content

1MDB : Deloitte capai penyelesaian AS$80 juta

 

 

KUALA LUMPUR 4 Mac - Syarikat audit, Deloitte PLT telah bersetuju untuk membayar penyelesaian berjumlah AS$80 juta kepada kerajaan berhubung skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan ia satu lagi kejayaan dalam usaha pemulihan berterusan kerajaan Malaysia terhadap pihak yang terlibat dalam 1MDB, SRC dan entiti berkaitan dengannya

 

Katanya, penyelesaian itu berfungsi untuk menyelesaikan semua tuntutan yang berkaitan kewajipan fidusiari Deloitte semasa mengaudit akaun 1MDB dan SRC International Sdn. Bhd. antara 2011 hingga 2014.

 

Beliau berkata, penyelesaian tersebut adalah jumlah berkaitan 1MDB terbesar oleh firma audit di Asia Tenggara.

 

"Sehubungan itu, kerajaan bertekad untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam skim 1MDB global ini,” katanya dalam kenyataan.

 

Penyelesaian itu hadir selepas AMMB Holdings Bhd. turut bersetuju dengan penyelesaian global bernilai RM2.83 bilion bagi menyelesaikan semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan penglibatan Kumpulan AmBank dalam isu 1MDB, Jumaat lalu.

 

Pada Julai 2020, kerajaan telah berjaya dalam rundingan dengan Goldman Sachs untuk mencapai penyelesaian bernilai RM15.8 bilion (AS$3.9 bilion).

 

Menurut Tengku Zafrul, kejayaan penyelesaian luar mahkamah dengan Deloitte itu akan mempercepatkan pembayaran wang penyelesaian untuk memenuhi kewajiban tertunggak 1MDB dan SRC tanpa proses mahkamah yang mungkin berpanjangan serta mahal.

 

“Kesemua penyelesaian ini tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low dan pihak lain yang berkaitan dengannya dan yang masih giat dicari berhubung skandal 1MDB,” katanya. - DagangNews.com