2 tahun belajar saham dengan guru yang sama | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
CIKGU SAHAM - 2 March 2021

2 TAHUN BELAJAR SAHAM DENGAN GURU YANG SAMA

 

UMUM mengetahui terdapat banyak seminar atau kursus tentang pelaburan dan perdagangan saham dewasa ini. Banyak iklan kelas-kelas pembelajaran saham bertebaran di media sosial tidak kurang juga berkumandang di corong-corong radio setiap hari.

 

Maka, orang ramai kini telah mula peka dan mula tertarik untuk melibatkan diri dalam pelaburan saham di Bursa Malaysia.

 

Oleh kerana terlalu ramai guru atau penceramah saham, maka bakal pelabur dan pedagang baharu perlu bijak memilih siapakah yang perlu diikuti atau dengan kata mudah siapakah guru saham yang boleh memberi bimbingan dan tunjuk ajar selok-belok pasaran saham untuk satu tempoh masa yang lama.

 

Ya, di sini Cikgu Saham katakan 'satu tempoh masa yang lama' kerana setiap guru saham itu merupakan individu-individu yang berpengalaman dalam pasaran saham.

 

cikgusaham
Bakal pelabur atau newbie memerlukan seorang guru yang boleh membimbing dan memberi panduan dalam selok-belok pasaran saham.

 

Ada yang mempunyai pengalaman sehingga berpuluh tahun. Maka sudah tentu ilmu yang akan disampaikan itu tidak boleh disampaikan dalam masa satu hari mahupun satu minggu.

 

Bayangkan seorang guru yang telah menceburkan diri berpuluh tahun dalam selok-belok pasaran saham telah melalui pelbagai peristiwa yang berlaku dalam dunia pelaburan?

 

Sudah tentu dia mempunyai banyak cerita atau kisah-kisah yang ingin disampaikan sebagai ilmu pengetahuan mahupun pengalaman kepada orang baharu yang baru ingin mula berjinak-jinak dalam dunia pelaburan saham.

 

Ilmu dan maklumat yang ingin disampaikan itu sudah tentu akan mengambil masa yang lama kepada pelajar yang mengikuti kelas atau bengkel pendidikan ilmu saham.

 

Pelajar pula perlu membuat latih tubi berkali-kali dan di dalam proses ini sudah tentu banyak masalah atau kesukaran yang dihadapi. Maklumlah, pelaburan saham mempunyai risiko yang tinggi.

 

Sudah tentu orang yang baharu mula akan melakukan berbagai kesilapan dalam urusan jual dan beli saham. Salah satu kesilapan yang sangat mudah dilakukan oleh newbie ialah tersilap tekan papan kekunci komputer atau telefon bimbit. Tersilap tekan angka atau jumlah unit ataupun tersilap meletakkan harga beli atau jual.

 

Maka, tidak boleh dinafikan bahawa bakal pelabur atau newbie ini sememangnya memerlukan seorang guru yang boleh membimbing dan memberi panduan dalam selok-belok pasaran saham secara berpanjangan.

 

Dalam proses belajar dan memahami setiap cabang ilmu pelaburan saham samada ilmu-ilmu analisis teknikal atau fundamental, sudah tentu orang yang baharu menerima ilmu-ilmu baharu memerlukan penerangan yang jelas dan terperinci.

 

Ada juga yang memerlukan penerangan yang berkali-kali tentang satu-satu perkara yang disampaikan oleh guru tersebut. Ini amat penting kerana setiap kesilapan bakal berdepan dengan risiko kerugian. 

 

cikgusaham
Sebagai newbie, untuk memahirkan diri dalam ilmu tentang pasaran saham perlu belajar satu per satu dahulu dengan seorang guru yang sama.

 

Tersilap memilih guru lebih-lebih lagi yang berkonsep 'touch and go' atau lepas tangan membahayakan pelabur dan pedagang saham yang baru bertatih.

 

Newbie ini tidak boleh dibiarkan membuat keputusan sendiri kerana mereka belum lagi melihat bermacam-macam perkara atau peristiwa yang berlaku di dalam pasaran saham.

 

Sebagai contoh, mereka belum pernah lagi melihat penurunan harga saham yang drastik atau 'limit-down'. Sekiranya mereka mendapat guru yang betul-betul berpengalaman, maka kesilapan yang bakal dilakukan itu boleh dielakkan kerana guru tersebut telah memberi garis panduan atau pantang larang. 

 

Seorang guru yang berpengalaman lama dalam selok-belok pasaran saham sudah tentu dapat membantu newbie dalam pengawalan emosi kerana guru tersebut telah dahulu melalui bermacam-macam sepak terajang pasaran.

 

Tetapi permasalahan yang timbul pada hari ini ialah yang mana newbie seringkali tidak menurut apa yang diajar. Kebanyakan pelabur dan pedagang baharu ini tidak mengikuti 100% apa yang diajar oleh guru tersebut. Kenapa ini berlaku?. Cikgu Saham simpulkan seperti berikut:

 

  1. Mengikuti pembelajaran saham dengan terlalu ramai guru dalam tempoh masa yang singkat.

  2. Mengikuti kelas yang lain walaupun ilmu yang baru dipelajari masih belum betul-betul difahami dan dipraktikkan.

  3. Mengikuti semua kelas pembelajaran saham termasuk kelas analisis teknikal, fundamental dan sebagainya setakad kelas pengenalan sahaja dan tidak mengikuti kelas-kelas di peringkat pertengahan dan lanjutan.

  4. Suka membaca atau mengikuti penulisan atau penerangan tentang pasaran saham atau ilmu kajian saham dari pelbagai individu walaupun individu tersebut tidak diketahui latarbelakang atau profil. 

  5. Mengambil beberapa teknik atau ilmu kajian saham dari beberapa orang guru dan digabungkan menjadi teknik sendiri.

 

Apabila seseorang itu mempunyai terlalu ramai tenaga pengajar maka dia tidak tahu yang mana satukah boleh diikuti. Ini ialah kerana setiap guru itu mempunyai ideologi, fahaman dan teknik dalam analisis saham yang berbeza. 

 

Sebagai newbie, untuk memahirkan diri dalam ilmu tentang pasaran saham perlu belajar satu per satu dahulu dengan seorang guru yang sama dan tidak boleh bertukar-tukar guru sepanjang proses pembelajaran.

 

Sebagaimana seorang pemandu yang belajar memandu yang diberikan lesen P selama 2 tahun. Dalam proses 2 tahun ini sudah tentu pemandu itu belum mahir memandu di atas jalan raya atau tidak berapa biasa dengan jalan raya.

 

Sama juga dalam pasaran saham, seseorang itu perlu bimbingan dan tunjuk ajar untuk tempoh masa sekurang-kurangnya dua tahun dan minima satu tahun.

 

Pelabur dan pedagang saham baharu juga boleh menggunakan khidmat nasihat remisier atau wakil peniaga yang berlesen dalam proses membuat pelaburan atau perdagangan saham kerana semua wakil peniaga berlesen mempunyai segala maklumat dan pengetahuan tentang selok-belok pasaran saham. - DagangNews.com

 

Cikgu Saham Zuraida juga merupakan penulis buku saham "Dunia Saham Dari Perspektif Cikgu Saham'. Anda yang berminat boleh dapatkan buku ini dengan menghubungi talian 017-3084787.

 

KOLEKSI CIKGU SAHAM:

Panduan untuk kawal emosi semasa berurus niaga saham

SERBA TAK KENA BILA BERJUAL BELI SAHAM

Jangan panik semasa bursa tidak menentu

Dagangan tinggi tidak semestinya bermakna saham akan naik juga

Apakah kesan ke atas Bursa Malaysia bila tercetus kerajaan mahu perketat semula PKP?

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags