32,469 syarikat berdaftar dengan SSM tutup operasi - Wan Junaidi | DagangNews Skip to main content

32,469 syarikat berdaftar dengan SSM tutup operasi - Wan Junaidi

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com


KUALA LUMPUR 13 Nov. - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjelaskan statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan jumlah keseluruhan syarikat dan perniagaan yang menutup operasi adalah sebanyak 9,675 syarikat bermula pada 18 Mac sehingga 9 Jun 2020. 

Bagi tempoh 10 Jun sehingga September 2020 pula, sebanyak 22,794 syarikat juga telah menutup operasi. 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, statistik ini menunujukkan bahawa dalam tempoh Mac hingga September, ia bukan hanya merujuk kepada syarikat PKS yang menutup operasi tetapi merangkumi keseluruhan syarikat yang berdaftar dengan SSM. 

"Susulan itu, laporan yang dikeluarkan Malaysia kini pada 11 November berhubung “Lebih 30,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menutup operasi mereka sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat COVID-19 yang bermula pada Mac lalu” adalah adalah tidak tepat," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh SSM, bermula pada 1 April sehingga 19 Julai 2020, sebanyak 82,555 perniagaan baharu telah didaftarkan. 

"Ini menunjukkan bahawa dalam situasi semasa COVID-19, ia tidak menghalang sesiapa sahaja untuk menceburi bidang perniagaan. 

"Tetapi mereka perlulah mengikut kehendak semasa iaitu dengan menggunakan platform e-dagang sebagai salah satu medium pemasaran produk atau perkhidmatan," katanya. 

Menurutnya, kementerian sentiasa mengambil langkah proaktif dan menyarankan agar para usahawan juga perlu sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi situasi semasa penularan wabak COVID-19. 

Katanya, usahawan perlu bersiap sedia kemaskan diri dan perniagaan dengan perkongsian pengetahuan yang disediakan secara percuma oleh agensi kerajaan bagi mendapatkan kaedah baru menjalankan perniagaan. 

"Adaptasi perniagaan dengan norma baharu kehidupan, perkasakan perniagaan melalui pendigitalan dan
perhebatkan strategi promosi. 

"Selain itu, PKS disarankan untuk mengekalkan data maklumat pelanggan, mengekalkan perhubungan dengan
pelanggan, mengekalkan jenama produk mereka supaya pelanggan tidak melupakan produk mereka selepas tempoh PKP," katanya. - DagangNews.com