KSL cadang ambil alih tanah seluas 74 hektar berharga RM212 juta di Johor Bahru bagi projek pembangunan kediaman | DagangNews Skip to main content

KSL cadang ambil alih tanah seluas 74 hektar berharga RM212 juta di Johor Bahru bagi projek pembangunan kediaman

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 April - KSL Holdings Berhad menerusi KSL Medini Development Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersama Tropicana Firstwide Sdn Bhd, Tropinca Rhythm Crest Sdn Bhd dan Tropicana Desa Mentari bagi mengambil alih tanah seluas 74.19 hektar berharga RM211.58 juta di Pulai, Johor Bahru.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, tanah akan digunakan untuk projek pembangunan kediaman dan meningkatkan lagi kehadirannya dalam pasaran hartanah di Johor.

 

Katanya, projek tersebut dijangka melibatkan pembangunan sejumlah 628 unit hartanah kediaman.

 

"Projek pembangunan ini dijangka dimulakan pada 2028 dan dijangka memakan masa antara lapan hingga 10 tahun.

 

"Memandangkan jangka masa jangkaan pembangunan yang lama, kumpulan tidak dapat menganggarkan dengan tepat jumlah nilai pembangunan kasar projek pada peringkat ini," katanya.

 

Cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman.

 

Kumpulan itu akan mengambil kira nisbah penggearan, caj faedah, kedudukan tunai dan keperluan kecairan untuk campuran pembiayaan.

 

KSL berkata, sebaik sahaja cadangan pengambilalihan selesai, bank tanah Kumpulan KSL akan menjadi lebih kurang 1,052 hektar terletak di Segamat, Batu Pahat, Muar, Mersing, Johor Bahru, Klang dan Selangor.

 

"Daripada jumlah itu, kira-kira 50% daripada bank tanah berada dalam pelbagai peringkat kelulusan dan lebih kurang 25% lagi berada di bawah pelbagai peringkat pembangunan," katanya. - DagangNews.com