Luno, bursa dikawal selia DAX pertama melancarkan ATOM dan DOT | DagangNews Skip to main content

Luno, bursa dikawal selia DAX pertama melancarkan ATOM dan DOT

Pengurus Negara bagi Luno Malaysia Scarlett Chai
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 30 April — Bursa aset digital dikawal selia (DAX) terkemuka, Luno mengembangkan senarai penawaran koin dengan pelancaran Cosmos (ATOM) dan Polkadot (DOT).

 

Tambahan dua koin kewangan desentralisasi ini telah menjadikan senarai koin di Luno bertambah menjadi 13 jenis.

 

Platform rantaian blok Cosmos (ATOM) bermatlamat untuk menyelesaikan batasan reka bentuk rantaian blok sedia ada dengan menyediakan ekosistem yang boleh diskalakan, selamat serta saling bersambung bagi aplikasi desentralisasi (dApps) dan perkhidmatan.

 

Dengan penekanan terhadap kebolehoperasian dalaman, kebolehskalaan dan hak, Cosmos telah menerima perhatian yang ketara daripada para pembangun, perniagaan dan peminat-peminat rantaian blok.

 

Polkadot (DOT) mewakili kemajuan signifikan dalam ruangan rantaian blok dengan keupayaannya beroperasi pada pelbagai rantaian.

 

Platform ini membolehkan para pembangun untuk mencipta rantaian-rantaian blok disesuaikan, dikenali sebagai ‘parachain’ untuk memenuhi keperluan-keperluan spesifik.

 

Polkadot membuka peluang-peluang baharu bagi dApps dan perkhidmatan, lantas akan memajukan ekosistem rantaian blok yang cekap dan saling bersambung.

 

Pengurus Negara bagi Luno Malaysia Scarlett Chai berkata, pihaknya teruja untuk menjadi DAX yang dikawal selia pertama melancarkan ATOM dan DOT di Malaysia. Tambahan penawaran koin ini membolehkan rakyat Malaysia meneroka dan mempelbagaikan portfolio mereka dalam persekitaran yang selamat dan dilindungi.

 

“Luno melaksanakan proses semakan teliti berdasarkan kriteria teknikal, kawal selia dan undang-undang yang ketat apabila menambah koin baharu untuk pelaburan para pelabur.

 

"Luno sentiasa menggalakkan pelanggan untuk melakukan kajian dan membuat keputusan termaklum.

 

"Portal pendidikan percuma Luno Discover, memberikan maklumat seimbang serta membantu perjalanan kripto pelanggan dalam melatih mereka membuat pelaburan yang bertanggungjawab,” kata Chai. - DagangNews.com