5,000 pelajar UMP jalani pengajian hibrid pada semester baharu | DagangNews Skip to main content

5,000 pelajar UMP jalani pengajian hibrid pada semester baharu

Dr. Yuserrie Zainuddin (kiri) bersama barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bermesra dengan para pelajar baharu dalam sesi program Bicara Naib Canselor bersempena Minggu Induksi Siswa (MIND’S 2021) secara dalam talian pada 8 Oktober 2021.


 

KUANTAN 14 Okt - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjangkakan seramai 5,000 pelajar berkeperluan dan beberapa kategori pelajar akan dibenarkan kembali ke universiti secara fizikal bagi menjalani aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hibrid (dalam talian dan bersemuka) bagi memulakan sesi pengajian semester baharu.

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, pelajar yang akan kembali ke kampus secara berperingkat mulai 15 Oktober 2021 diminta agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

 

Menurutnya, pihak universiti sentiasa berusaha untuk mewujudkan gelembung kampus dalam memastikan warga universiti mencapai imuniti kelompok agar penularan wabak COVID-19 dapat dibendung.

 

''UMP juga mengalu-alukan 1,528 pelajar baharu yang mendaftar bagi mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di universiti itu bagi sesi akademik 2021/2022.

 

''Pihak universiti merakamkan penghargaan keada semua pelajar yang terpilih menjadi sebahagian daripada keluarga besar UMP,'' kata beliau dalam sesi program Bicara Naib Canselor bersempena Minggu Induksi Siswa (MIND’S 2021) yang berlangsung secara dalam talian pada 8 Oktober lalu.

 

Dr Yuserrie berkata, UMP juga merangka pendekatan strategik bagi mengurangkan influks jangkitan COVID-19 dari luar kampus dan mengehadkan penyebaran wabak apabila terdapat jangkitan di dalam kampus.

 

 

UMP
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin mengalu-alukan pelajar baru UMP pada 8 Oktober lalu.

 

 

Beliau turut menekankan agar semua pelajar mengambil peluang menyertai aktiviti kelab atau persatuan sebaik kembali ke kampus kelak.

 

Menurutnya, terdapat 70 badan pelajar berdaftar yang boleh disertai sama ada berteraskan sukan, kebudayaan, rekreasi, inovasi, kepimpinan, pengucapan awam, khidmat komuniti dan keusahawanan.

 

“Jadikan pembelajaran di universiti sebagai pemecah tembok yang menghalang interaksi harmoni disebabkan stigma kaum, agama dan kenegaraan dengan mewujudkan semangat kekitaan dalam konteks keluarga besar UMP,” katanya.

 

 

UMP
Dr Yuserrie Zainuddin (kanan) menyaksikan majlis ikrar pelajar baharu Universiti Malaysia Pahang pada 8 Oktober 2021.

 

 

Tambah beliau, UMP kini menawarkan 41 program pengajian pada pengambilan kali ini termasuk tujuh program baharu.

 

Antaranya Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Automotif), Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk dan Analisis), Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Minyak dan Gas) yang ditawarkan melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA).

 

Program baharu lain yang turut ditawarkan pada semester ini ialah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Automasi Industri) dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekatronik (Robotik) di bawah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).

 

Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) menawarkan program pengajian Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Bangunan) manakala Sarjana Muda Analitis Perniagaan ditawarkan oleh Fakulti Pengurusan Industri (FPI).

 

 

UMP
Dalam sesi khas secara dalam talian, Dr Yuserrie Zainuddin menyampaikan amanat alu-aluan UMP kepada para pelajar baharu.

 

 

Beliau berkata, UMP sentiasa mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa.

 

Dr Yuserrie berkata, penawaran program akademik sentiasa ditambah nilai melalui proses penanda aras secara berterusan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HKA), Jerman. - DagangNews.com