5G : Tanpa SWN, kurangkan ketidaktentuan dalam landskap persaingan  | DagangNews Skip to main content

5G : Tanpa SWN, kurangkan ketidaktentuan dalam landskap persaingan 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Dis - Ketidaktentuan dalam landskap persaingan jangka panjang akan berkurangan sekiranya kerajaan membatalkan model Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) 5G, menurut CGS-CIMB Research.

 

Dalam laporan strategik mengikut sektor yang dikeluarkan semalam, firma itu juga berkata, meskipun, syarikat telekomunikasi akan menanggung bayaran spektrum dan perbelanjaan modal (capex) 5G, tetapi ia adalah lebih munasabah (perkongsian rangkaian, pelancaran berasaskan permintaan).

 

"Sekiranya SWN ini dibatalkan, kami berpendapat bidaan spektrum 5G mungkin diadakan pada pertengahan 2022, dengan perkhidmatan dilancarkan akhir tahun hadapan atau 2023," katanya. 

 

Ketika ini, keputusan untuk menggunakan konsep SWN masih dalam proses rundingan antara Digital Nasional Bhd. (DNB) dengan syarikat telekomunikasi.

 

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin pada Rabu menggesa Kementerian Kewangan (MOF) dan DNB memberi penjelasan terperinci kepada Kabinet dan rakyat berhubung pelbagai persoalan dan isu berbangkit berkenaan pelaksanaan teknologi 5G.

 

Beliau sebelum itu membangkitkan isu tiada perundingan antara MOF dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengenai pelantikan DNB sebagai pelaksana rangkaian dan infrastruktur 5G melalui model SWN.

 

Secara dasarnya, DNB merupakan sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang ditubuhkan MOF pada Februari lalu untuk mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur dan rangkaian 5G di Malaysia dengan kos keseluruhan berjumlah RM16.5 bilion.

 

Menurut CGS-CIMB, pengkomersialan 5G akan mengambil masa yang lama meskipun projek perintis untuk perusahaan mungkin sudah bermula. 

 

Ini kerana katanya, dengan liputan terhad, kuota yang banyak dan penggunaan yang kurang, agak sukar bagi syarikat telekomunikasi untuk mengeluarkan premium bagi perkhidmatan 5G dalam tempoh terdekat. 

 

"Pada masa sama, bayaran yuran borong 5G kepada DNB juga tidak dalam jumlah yang besar pada 2022 (mengambil kira liputan/trafik yang rendah)," tambahnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi dengan pilihan utamanya ialah saham Telekom Malaysia Bhd. (TM).

 

Ia menjangkakan hasil TM bagi tahun kewangan 2022 (FY22) akan berkembang 3.1% antaranya didorong permintaan penyewaan fiber yang kekal kukuh dan juga pelancaran 5G. 

 

TM juga menyaksikan kenaikan pendapatan sesaham pada FY22 sebanyak 2.8% manakala Maxis Bhd. susut 1.3%.

 

Ini membolehkan CGS-CIMB memberi saranan 'tambah' terhadap TM dengan harga sasaran (TP) pada RM7.50, sebaliknya 'pegang' bagi saham Maxis dengan TP RM4.70. 

 

"Kami lebih menyukai talian tetap berbanding mudah alih berdasarkan prospek pertumbuhan yang lebih baik dan persaingan yang mantap," jelasnya.

 

Semalam, TM menandatangani Kertas Perjanjian Perkhidmatan Sewaan Fiber dengan DNB membabitkan kontrak bernilai RM2 bilion bagi tempoh 10 tahun.

 

Firma itu nota kajian hari ini berkata, TM masih mendapat kelebihan daripada sewaan fiber kepada pengendali rangkaian mudah alih sekiranya kerajaan membatalkan cadangan SWN dan kontrak itu tidak dapat dilaksanakan.

 

"Dalam hal ini, kami menjangkakan mereka akan meningkatkan tapak gentian daripada 35 hingga 45% ketika ini kepada 60 hingga 70% dalam tempoh 5 hingga 7 tahun akan datang bagi melancarkan pelaksanaan 5G," tambahnya. - DagangNews.com

- DagangNews.com