7 pendekatan baharu tingkatkan pengeluaran beras negara | DagangNews Skip to main content

7 pendekatan baharu tingkatkan pengeluaran beras negara

Beras

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan komited untuk meningkatkan pengeluaran beras negara
sehingga tahap sara diri SSL mencecah 75% seperti yang digariskan dalam cadangan Kertas Strategi RMKe-12 bagi industri padi dan beras.

 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, langkah itu sekali gus untuk mengurangkan jumlah import beras sebanyak 5%.

 

Ahmad Hamzah
Ahmad Hamzah

 

Jelas beliau, pihaknya telah melaksanakan beberapa pendekatan baharu untuk meningkatkan pengeluaran beras bagi mengurangkan kadar kebergantungan terhadap beras import.

 

 

Berikut adalah pendekatan yang dijalankan oleh kementerian untuk meningkatkan pengeluaran beras negara;

  1. Program Pengurusan Nutrien Lokasi Spesifik (SSNM) atau lebih dikenali sebagai soil profiling
  2. Pendekatan Sawah Berskala Besar (SBB) iaitu dengan melibatkan peranan entiti swasta sepanjang rantaian penanaman padi dan pengeluaran beras
  3. Penggunaan sumber air secara konjuktif (conjunctive) iaitu secara bersepadu untuk penanaman padi
  4. Perluasan kawasan jelapang padi 
  5. Penggunaan benih padi sah yang berkualiti bagi mengelakkan berlakunya kejadian benih padi angin
  6. Penggunaan teknologi moden dalam mekanisasi dan automasi serta adaptasi teknologi baru tanaman padi melalui penggunaan jentera yang moden, berkeupayaan tinggi dan dapat mengoptimumkan hasil seperti penggunaan drone, jentuai mini dan sebagainya dalam keseluruhan rantaian industri
  7. Penglibatan golongan muda di dalam rantaian penanaman padi dan beras melalui pelaksanaan pertanian moden untuk meningkatkan pengeluaran padi

 

 

Perkara tersebut dinyatakan sebagai jawapan kepada soalan Senator Datuk Paul Igai (PDP) dalam sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

 

Paul membangkitkan soalan berkaitan rancangan kementerian untuk meningkatkan pengeluaran beras negara agar tidak perlu mengimport 30% beras luar negara.

 

Purata keperluan tahunan beras bagi rakyat Malaysia kira-kira 2.5 juta tan metrik (MT), manakala pengeluaran beras negara adalah sekitar 70% daripada keperluan tersebut.

 

Negara masih mengimport kira-kira 700,000 hingga 900,000 tan metrik beras setiap tahun atau 30%. 

 

Paul Igai
Paul Igai

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kementeriannya melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada 2019 telah menjalankan satu kajian pengurusan penanaman padi bukit di kawasan tanah darat beralun (undulated land) dan berbukit Sarawak selama tiga tahun.

 

Kajian tersebut merangkumi penapakan tanaman, pengurusan nutrien, pembajaan, pengurusan rumpai, serangga dan penyakit serta mekanisasi. 

 

"Hasil kajian tersebut mendapati hasil padi telah meningkat kepada 1.42 metrik tan/hektar berbanding 0.74 metrik tan/hektar bagi kawasan berbukit.

 

"Manakala peningkatan hasil kepada 2.78 metrik tan/hektar berbanding 1.11 metrik tan/hektar di kawasan tanah beralun dengan menggunakan varieti benih padi tradisional," jelas beliau lagi. - DagangNews.com