Skip to main content

73.2% PKS Malaysia jangka berlaku peningkatan hasil kasar - SME Bank

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Sebanyak 73.2% perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjangkakan akan berlaku peningkatan hasil kasar yang membawa kepada peningkatan keuntungan pada masa hadapan, menurut Indeks Sentimen PKS.

 

Secara khususnya, 82.3% responden dari subsektor penginapan serta makanan dan minuman (F&B) yakin akan berlaku peningkatan hasil, sejajar dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan jumlah pelancong asing yang dijangka lebih tinggi.

 

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail berkata, sebagai usaha untuk mengukur sentimen PKS terhadap ekonomi dan persekitaran perniagaan, SME Bank telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan Indeks Sentimen PKS sulungnya. 

 

Beliau berkata, bertindak sebagai penunjuk ekonomi utama, indeks itu memberikan gambaran tentang realiti PKS di luar sana.

 

“Kami bersemangat dengan penemuan tinjauan tersebut yang mana Indeks Sentimen PKS menunjukkan bacaan positif 53.8. 

 

"Walaupun terdapat persepsi bahawa PKS beroperasi dalam persekitaran yang tidak menentu dan berdepan cabaran getir yang belum pernah berlaku sebelum ini, bacaan indeks melebihi 50 mata menunjukkan bahawa usahawan PKS optimis, berdaya tahan dan boleh menyesuaikan diri dengan prospek masa depan. 

 

"Malah, 57.3% daripada responden menjangkakan persekitaran perniagaan akan bertambah baik dalam tempoh 6 hingga 12 bulan akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Aria berkata, selaras dengan keyakinan itu, lebih daripada 70% PKS telah menyatakan kepentingan untuk mengukuhkan hubungan dengan pelanggan dan meningkatkan kecekapan operasi. 

 

"Hampir separuh daripada responden beranggapan bahawa pelan pengembangan perniagaan sebagai salah satu tumpuan paling utama tahun ini," katanya.

 

Ketua Pakar Ekonomi SME Bank, Lynette Lee pula berkata, apabila hasil bertambah baik dan disokong permintaan mampan, keinginan untuk mengembangkan perniagaan akan meningkat, dan ini boleh membawa kepada pengambilan pekerja yang lebih tinggi. 

 

"Walaupun 42.2% daripada PKS bersedia untuk mengambil pekerja, mereka mungkin tidak dapat merekrut tenaga kerja yang mencukupi di tengah-tengah keadaan pasaran buruh yang ketat, sehingga menjejaskan kapasiti operasi mereka. 

 

"Isu kekurangan buruh ini lebih mendesak bagi industri intensif buruh, yang seterusnya boleh mengehadkan unjuran pendapatan mereka," katanya. - DagangNews.com