8 faktor pengaruhi harga minyak sawit mentah 2021 | DagangNews Skip to main content

8 faktor pengaruhi harga minyak sawit mentah 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Para penganalisis dan penyelidik meletakkan jangkaan positif terhadap prospek harga dan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) menjelang tahun hadapan.

Menerusi Persidangan dan Pameran Jangkaan Harga Minyak Sawit dan Laurik (PCO) 2020 baru-baru ini yang dimasukkan ke dalam nota kajian CGS-CIMB, penganalisis menjangkakan harga MSM berada pada tahap memberangsangkan menjelang separuh pertama 2021 (1H21) berbanding 2H21. 

Ini didorong oleh hantaran tangguh stok yang rendah serta kebimbangan terhadap impak La Nina ke atas tanaman biji minyak global dan kelapa sawit. 

Bagi menggambarkan jangkaan yang lebih terperinci, salah seorang speaker PCO, Dr. Sathia Varqa dari Palm Oil Analytics (POA) menggariskan lapan faktor yang bakal mempengaruhi harga MSM menjelang tahun hadapan:

i. Perkembangan penularan COVID-19 di mana meletakkan prospek ekonomi yang tidak menentu dan lemah

ii. Pengeluaran minyak sawit yang dijangka lebih baik pada 1H21

iii. Prospek pengeluaran kacang soya di Amerika Syarikat (AS)

iv. Dasar percukaian eksport menjelang tahun 2021

v. Persaingan harga MSM Indonesia dan Malaysia

vi. Dasar biodiesel sekiranya disambung semula dan memerlukan penjelasan lanjut

vii. Ketegangan hubungan politik dan perdagangan antara China dan AS

viii. Dari segi laurik, terdapat jurang luas minyak kepala mentah dan minyak inti kelapa sawit

“Berdasarkan PCO 2020, kami berpendapat La Nina akan menjejaskan bekalan kacang soya dan minyak biji lain menjelang 2021, ini mendorong pembeli untuk beralih kepada minyak kelapa sawit yang memberi manfaat kepada harga MSM. 

 

Dr. Sathia Varqa
Sathia Varqa 

 

“Secara keseluruhannya, kami menjangkakan harga MSM akan kekal dalam lingkungan RM2,500 hingga RM3,000 setiap tan pada bulan ini dan purata RM2,500 setiap tan sepanjang tahun 2020,” kata CGS-CIMB. 

Namun, rata-rata speaker menzahirkan kebimbangan terhadap dasar percukaian eksport Malaysia iaitu paras 0% ketika ini  dijangka tidak disambung selepas Disember 2020 ekoran peningkatan eksport kelapa sawit pada tempoh tiga bulan lalu sehingga September 2020, sekali gus menyaksikan kekurangan stok di Malaysia. 

Potensi kenaikan pungutan eksport Indonesia mendorong stok minyak sawit Malaysia lebih ketat berikutan aliran keluar yang lebih tinggi daripada MSM Malaysia dengan harga yang lebih kompetitif.

Dr. Sathia menjangkakan pungutan eksport di Indonesia mungkin berubah pada 4Q20 untuk membantu membiayai mandat biodiesel di negara itu,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com