86 program MEDAC bernilai RM5.15 bilion tahun ini | DagangNews Skip to main content

86 program MEDAC bernilai RM5.15 bilion tahun ini

 

KUALA LUMPUR 15 Mac - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) berhasrat untuk melaksanakan 86 program pada tahun ini untuk mengembangkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program-program berkenaan akan melibatkan nilai peruntukan sebanyak RM5.15 bilion.

 

Wan Junaidi
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

"Peruntukan RM5.15 bilion itu bukan hanya datang dari MEDAC tetapi juga daripada kementerian lain seperti Kementerian Kewangan termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

 

"Kami sebagai pelaksana tetapi sumber kewangan datang dari kementerian-kementerian lain,” kata Wan Junaidi menurut laporan Bernama. 

 

Jelas Wan Junaidi, 86 program untuk usahawan dan bakal usahawan itu dilaksanakan di bawah rangka kerja  Perancangan Strategik 2021 MEDAC berdasarkan pendekatan 5E iaitu “Enculture, Enable, Empower, Energise and Engage”.

 

Ia juga merangkumi pembiayaan dan moratorium, pembangunan kapasiti serta latihan, pendigitalan dan adaptasi teknologi termasuk akses kepada pasaran. 

 

Mengulas mengenai aspek usahawan, beliau yakin dapat mencapai sasaran melahirkan 100 jutawan setiap tahun dalam kalangan usahawan PKS. 

 

Katanya, agensi MEDAC iaitu Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) telah mengenal pasti individu yang boleh 'didorong ke hadapan'. 

 

"Kami akan bantu mereka dalam segala aspek membabitkan pemasaran domestik dan antarabangsa termasuk pensijilan halal supaya boleh menembusi pasaran negara-negara Islam," ujarnya. 

 

Untuk rekod, SME Corp telah merekodkan pertumbuhan 90% dalam kelulusan pembiayaannya kepada RM87.6 juta melibatkan 9,247 PKS berbanding RM46.1 juta dan 1,326 PKS pada 2019.  

 

Sementara itu, TEKUN Nasional pula melaporkan pertumbuhan 55% dalam pembiayaan kepada RM655.41 juta membabitkan 33,365 penerima berbanding RM423.6 juta dengan 20,675 penerima pada 2019. - DagangNews.com