9 syarikat bimbingan MDEC berpotensi raih peluang komersial RM42 juta | DagangNews Skip to main content

9 syarikat bimbingan MDEC berpotensi raih peluang komersial RM42 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi utama dalam memacu transformasi ekonomi digital negara hari ini mengumumkan kejayaan membuka peluang komersial dan penjualan untuk industri kreatif tempatan bernilai RM42 juta menerusi Sidang Kemuncak Kidscreen 2021 yang berlangsung secara dalam talian.

 

Acara yang julung kali dianjurkan itu menyaksikan MDEC memimpin sembilan syarikat kreatif dalam proses membuat keputusan dan memeterai perjanjian untuk membina rangkaian sekali gus memacu perniagaan mereka ke pasaran yang lebih luas, menurut kenyataan MDEC.

 

Nilai peluang komersial yang diraih oleh kesemua syarikat berkenaan berjumlah RM27.3 juta manakala penjualan sebenar sebanyak RM15.1 juta.

 

Naib Presiden Ekosistem Teknologi dan Globalisasi MDEC, Gopi Ganesalingam berkata, MDEC menyedari situasi yang dihadapi oleh industri kreatif pada masa yang mencabar ini.

 

“Sokongan kerajaan melalui Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) dan usaha berterusan oleh MDEC merupakan komitmen jelas kepada industri, sejajar dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan Malaysia 5.0,” kata Ganesalingam.

 

Gopi Ganesalingam
Gopi Ganesalingam

 

Kidscreen 2021 merupakan platform yang disediakan MDEC merangkumi Program Akses Pasaran & Padanan Perniagaan Kandungan Digital (2P).

 

Sebagai rekod, 2P merupakan inisiatif berterusan dalam meraih peluang untuk industri kreatif digital Malaysia ke pasaran domestik dan antarabangsa menerusi Virtual Buyer Fly Ins (VBFI) dan Virtual Business Missions (VBM).

 

Inisiatif tersebut dirancang untuk memberi bantuan kepada syarikat yang menawarkan perkhidmatan kandungan kreatif digital dan pengkomersialan IP di mana manfaatnya merangkumi pendedahan syarikat di pasaran antarabangsa, mewujudkan peluang perniagaan serta  penjualan dan seterusnya pengkomersialan IP dan perkhidmatan mereka.

 

MDEC yang mewakili negara menerusi Malaysian Pavilion terdiri daripada delegasi syarikat kreatif Malaysia, mengetuai lapan syarikat animasi dan satu syarikat permainan pada sidang kemuncak berkenaan yang merangkumi persidangan dan sesi pelancaran perniagaan hiburan kanak-kanak baru-baru ini.

 

Sembilan syarikat terlibat ialah Monsta, Lemon Sky, Lil Critter, Giggle Garage, Skyline Interactive, Anima Vitae Point, Pixelline Studios, Animasia Studios dan Common Extract.

 

"Kejayaan Sidang Kemuncak Kidscreen 2021 secara maya merupakan kesinambungan kerja keras yang dilakukan menerusi acara sama pada 2020.

 

Mohan Low
Mohan Low

 

“Sokongan yang konsisten untuk industri inilah yang menyaksikan MDEC memberikan nilai utamanya sebagai agensi yang merapatkan jurang antara pasaran antarabangsa," kata Ketua Kandungan Kreatif Digital MDEC, Mohan Low. - DagangNews.com