99.3% peruntukan telah disalurkan bantu usahawan di bawah Belanjawan 2020 - MEDAC | DagangNews Skip to main content

99.3% peruntukan telah disalurkan bantu usahawan di bawah Belanjawan 2020 - MEDAC

 

 

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), setakat 7 Disember 2020, telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM317.62 juta atau 99.3% daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM319.76 juta yang telah diperuntukkan di bawah Belanjawan 2020.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pencapaian ini amat membanggakan kerana ia mencerminkan komitmen MEDAC dan agensinya dalam membantu kumpulan usahawan di negara ini.

 

“Selain memberikan fokus terhadap program-program yang dijalankan oleh agensi, dari awal lagi, ketika mula memegang jawatan sebagai menteri, perkara utama saya tekankan adalah untuk menangani isu berhubung karenah birokrasi dan red tapes yang menjadi batu penghalang untuk kemudahan-kemudahan dan pembiayaan disalurkan dengan efisien.

 

“Saya juga telah menekankan betapa penting untuk mempermudahkan proses-proses yang ada supaya lebih mudah untuk kami salurkan batuan kepada golongan usahawan di seluruh negara,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK). 

 

Dalam usaha mempertingkatkan lagi prestasi, pihak pengurusan MEDAC akan terus mengambil tindakan sewajarnya dalam mengenalpasti beberapa halangan dan penambahbaikan dalam usaha meningkatkan perkhidmatan penyampaian agensi di bawah MEDAC dalam usaha membantu rakyat.

 

MTPK merupakan satu platform untuk memantau dan memastikan pelaksanaan program-program pembangunan kementerian yang dibiayai di bawah Peruntukan Pembangunan Kerajaan Persekutuan berjalan lancar dan efisien. 

 

Wan Junaidi berkata, walaupun berpuas hati dengan pencapaian tahun ini, tetapi MEDAC dan agensi di bawahnya jangan terlalu selesa dengan pencapaian ini. 

 

"Semua pihak perlu sentiasa membuat penambahbaikan terhadap proses permohonan supaya para usahawan lebih mudah untuk mendapatkan sebarang bentuk dana atau pembiayaan yang ditawarkan," katanya.

 

Langkah ini juga bagi memastikan agenda pembangunan negara terutama yang terkandung dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dapat dilaksanakan dengan jayanya. 

 

Fokus pemulihan ini juga akan diteruskan dalam Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Kedua belas (RMK-12) pada 2021. 

 

Menerusi Belanjawan 2021, MEDAC telah menerima peruntukan sebanyak RM548.7 juta iaitu RM192.4 juta bagi peruntukan mengurus dan RM356.3 juta bagi program pembangunan.

 

Peruntukan bagi pembangunan usahawan dalam Belanjawan 2021 adalah merentasi kementerian dan agensi di Malaysia. 

 

Oleh itu, peruntukan yang diumumkan kepada MEDAC dalam Belanjawan 2021 adalah hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan peruntukan untuk usahawan dan koperasi di Malaysia.

 

Bagi merealisasikan agenda keusahawanan dan koperasi negara tercapai sepenuhnya, MEDAC akan meningkatkan perkongsian strategik dengan kementerian lain seperti yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030). - DagangNews.com