Untung bersih 1QFY24 Velesto dijangka meningkat lebih tiga kali ganda, pelantar penggerudian digunakan sepenuhnya - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 1QFY24 Velesto dijangka meningkat lebih tiga kali ganda, pelantar penggerudian digunakan sepenuhnya - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mei - Untung bersih pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) Velesto Energy Bhd dijangka meningkat melebihi tiga kali ganda  berbanding tempoh ama tahun lalu kesemua pelantar penggerudian kumpulan itu digunakan sepenuhnya.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, untung bersih kumpulan itu dijangka mencecah antara RM45 juta hingga RM50 juta berbanding RM14.22 juta yang dicatatkan pada 1QFY23.

 

"Keja-kerja penggerudian dengan kadar sewa harian sekitar AS$165,000 (RM781,536) yang dimenangi syarikat lain menunjukkan bahawa pasaran pada masa ini masih mencabar dan kadar masih mencatatkan peningkatan.

 

"Prospek penggerudian tempatan bagaimanapun masih kukuh," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Saham kumpulan itu meningkat hampir 20% setakat tahun ini dengan keyakinan bahawa kenaikan harga minyak akan meningkatkan lagi permintaan untuk perkhidmatannya, dan penganalisis secara umumnya berpendapat terdapat lebih banyak peningkatan kepada syarikat bernilai lebih RM2.2 bilion di Bursa Malaysia.

 

Sejumlah tujuh daripada lapan penganalisis yang yang membuat liputan ke atas Velesto mengekalkan saranan 'beli' ke atas sahamnya manakala hanya satu memberikan penarafan 'pegang'.

 

Saham kumpulan itu berada di bawah tekanan sejak April 2024 akibat kebimbangan penggantungan lebih luas pelantar jack-up Saudi Aramco yang mungkin mendorong pemilik untuk menghantar aset terbiar mereka ke tempat lain selain tekanan daripada kadar piagam.

 

Maybank IB berkata, pada Mac 2024, kumpulan itu mengumumkan bahawa mereka telah memperoleh lanjutan kontrak untuk Naga 2, Naga 4 dan Naga 6 untuk dua tahun akan manakala Naga 8 memiliki kontrak sehingga Oktober 2025. 

 

Katanya, Naga 3 dan Naga 5 sedang dalam bidaan serta rundingan untuk kontrak sehingga akhir 2025.

 

"Kami membuat kesimpulan bahawa Velesto cukup terlindung kerana semua pelantarnya akan digunakan sepenuhnya untuk 18 bulan akan datang dan kadar penggunaan mungkin mencapai 94%," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 34 sen sesaham. - DagangNews.com