9M20: Bursa Malaysia catat untung bersih RM272.9 juta | DagangNews Skip to main content

9M20: Bursa Malaysia catat untung bersih RM272.9 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM272.9 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2020 (9M20) yang berakhir 30 September lalu. 

Angka itu melonjak 94.5% daripada RM140.3 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun lalu.  

Menurut Bursa Malaysia, peningkatan PATAMI didorong hasil operasi yang lebih tinggi, di mana melonjak sebanyak 55% kepada RM554 juta daripada tempoh sama pada tahun lalu. 

Jumlah perbelanjaan operasi pada 9M20 pula meningkat sebanyak 11.1% kepada RM200.4 juta daripada RM180.3 juta kerana kos staf lebih tinggi, yuran profesional dan kos penyelenggaraan teknologi maklumat. 

“Walaupun keadaan ketika ini mencabar, namun Bursa Malaysia menunjukkan prestasi kewangan 9M20 memberangsangkan, mencatatkan PATAMI sembilan bulan tertinggi sejak disenaraikan pada 2005.

“Perkembangan terkini mengenai COVID-19, kadar faedah rendah, pakej rangsangan kerajaan dan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur terus menyokong penyertaan pelabur di seluruh segmen yang didahului institusi domestik dan runcit.

 

Muhamad Umar Swift
Muhamad Umar Swift

 

“Operasi pasaran yang berterusan penting dalam memastikan mudah tunai (liquidity) dan alatan pengurusan risiko kepada pelabur untuk bertindak balas dalam persekitaran tidak menentu serta melabur dalam peluang baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift dalam satu kenyataan hari ini. 

Jelas bursa itu, penyertaan pelabur dalam pasaran sekuriti terus meningkat dengan jumlah purata dagangan harian (ADV) melonjak sebanyak 101.8% kepada RM4 bilion pada 9M20 berbanding RM2 bilion pada 9M19.

Hasil bukan dagangan pula melonjak sebanyak 7% kepada RM110.9 juta daripada RM103.6 juta pada tempoh sama pada tahun lalu.

Ini disumbang oleh hasil data pasaran yang lebih tinggi di mana meningkat sebanyak 20.4% kepada RM26.7 juta pada 9M20 daripada RM22.2 juta pada 9M19, didorong lonjakan jumlah pelanggan baharu.

Hasil perkhidmatan simpanan juga meningkat sebanyak 9.3% kepada RM34.4 juta pada 9M20 daripada RM31.5 juta pada 9M19 didorong yuran Record of Depositors dan pembukaan akaun yang diperoleh, kata Bursa Malaysia.

“Walaupun indikator ekonomi utama menunjukkan prospek lebih baik bagi ekonomi Malaysia, namun perkembangan terkini pandemik COVID-19 akan terus mempengaruhi ketidaktentuan dan prestasi pasaran sekuriti dan derivatif. Kami bekerja rapat dengan pihak kawal selia lain untuk memastikan kecekapan pasaran serta kemasukan pasaran dan mudah tunai yang ditambah baik untuk meyokong pelabur ketika ini. 

“Walaupun terdapat cabaran, kami bersedia untuk terus mengembangkan pasaran dan meningkatkan rancangan strategik kami. Kami telah menyaksikan hasil yang meyakinkan selepas berjaya menjalankan lima majlis penyenaraian dan pemegangan antaranya Invest Malaysia Conference dan Palm and Lauric Oils Price Outlook Conference & Exhibition, sepenuhnya secara maya,” tambah Muhammad Umar. - DagangNews.com