Bagaimana memilih organisasi yang tepat membantu anda merancang harta pusaka? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 11 Dec 2024 07:00 AM

BAGAIMANA MEMILIH ORGANISASI YANG TEPAT MEMBANTU ANDA MERANCANG HARTA PUSAKA?

 

 

 

Minggu lepas saya telah mengulas tentang kenapa caj perkhidmatan kami sedemikian rupa. Caj kami bukan berkorelasi terus hanya kepada kos kertas dan dakwat pencetak sahaja.

 

Lebih besar  daripada sekadar kos asas itu, kos kami juga meliputi penyelidikan ilmiah, semua kerja yang kami lakukan ke arah memastikan dokumen yang disediakan itu patuh hukum Syarak.

 

Dan paling utama, boleh berkuatkuasa mengikut undang-undang semasa, perkhidmatan pelanggan, proses pendigitalan dan pengalaman 20 tahun kami turun naik Mahkamah Syariah, Pejabat Pusaka Kecil dan Mahkamah Tinggi Sivil bagi semua urusan berkaitan harta pusaka pelanggan.

 

Dengan pengalaman 20 tahun itu dan kejayaan menurun milik lebih dari RM700 juta nilai harta pusaka pelanggan kepada pihak yang berhak, rekod prestasi kami memang tidak boleh dinafikan.

 

Selepas melalui semua pengalaman ini, bila saya menoleh ke belakang mengenangkan semua pahit manis bergelumang di dalam industri ini, saya rasa sangat puas hati.

 

 

wasiyyah

 

 

Banyak sebenarnya yang telah Wasiyyah Shoppe Berhad sumbangkan kepada masyarakat. Meletakkan kepentingan perniagaan ke tepi (walaupun ia penting), sumbangan kami  sebenarnya lebih kepada menyebar dan mengaplikasi ilmu yang bermanfaat (ilmu fiqh mawarith) yang bakal menjadi amal yang tidak putus kepada kami walaupun selepas kami mati, insya-Allah.

 

Minggu ini saya memilih tajuk faktor pemilihan organisasi yang masyarakat perlu ambil kira di dalam menyedia dan melaksanakan dokumen perancangan harta mereka.

 

Walaupun tajuk ini pernah saya tulis sebelum ini, namun saya percaya ramai yang tidak akan bersusah-payah untuk ‘scroll’ membaca lebih 190 artikel saya di dalam ruangan Anekdot Mawarith ini. Jadi saya olahkan sekali lagi. Tambahan pula, persoalan ini memang kerap kali ditanyakan kepada saya.

 

Faktor 1 : Pengalaman organisasi yang menguruskan harta pusaka

Ini ialah faktor paling penting yang mesti dipertimbangkan oleh masyarakat bila mereka mahu menyediakan dokumen perancangan harta mereka. Adakah organisasi yang mereka pilih itu berpengalaman luas di dalam urusan harta pusaka ini?

 

Walau canggih dan sofistikated bagaimanapun urusan sesuatu organisasi itu, ia tidak menjamin urusan harta pusaka kita akan menjadi lancar jika pihak yang melaksanakannya tidak mempunyai pengalaman yang mencukupi.

 

Kenapa? kerana urusan harta pusaka di Malaysia ini sangat dinamik. Apa sahaja ilmu yang kita tahu tentangnya setahun yang lepas, tahun ini mungkin tidak lagi relevan.

 

Perubahan undang-undang dan tafsiran hakim-hakim kerap berubah selari dengan keadaan semasa.

 

Hanya pemain industri yang berpengalaman luas seperti Wasiyyah Shoppe Berhad dengan bimbingan 7 orang Panel Syariah yang berpengetahuan tinggi dan berpengalaman lebih dari 25 tahun setiap seorang sahaja yang akan faham bagaimana untuk menangani  perubahan-perubahan ini kerana kami juga sudah melaluinya semenjak 20 tahun yang lepas.

 

 

wasiyyah

 

 

Sepanjang 26 tahun pengalaman saya di dalam industri ini, saya juga telah berjumpa dengan ramai ahli perniagaan dan pelabur yang merasakan industri perancangan harta ini sangat berpotensi kerana pasarannya yang luas dan mereka dengan ‘simplified thinking’ merasakan bahawa mudah sahaja untuk membuat keuntungan daripada perniagaan ini.

 

Pada mereka, ia hanya berkait dengan strategi pemasaran sahaja sama seperti perniagaan ‘fast moving consumer product’ yang lain.

 

Jadi ramai yang bertanya kepada saya kenapa Wasiyyah Shoppe Berhad mengambil masa sehingga 20 tahun untuk sampai ke tahap ini sedangkan pasarannya sangat baik?

 

Sepatutnya jika saya ada strategi pemasaran yang betul, saya telah mampu membawa Wasiyyah Shoppe Berhad pergi lebih jauh lagi. Saya hanya tersenyum sahaja bila ditanya soalan itu kerana saya strategi pemasaran sahaja bukanlah faktor utama kejayaan.

 

Jadi ada di antara mereka yang turut menceburi perniagaan ini kerana pada pandangan mereka ia mudah sahaja.

 

Namun selepas hanya beberapa tahun, mereka mulai faham bahawa ia tidak semudah yang disangkakan. Ia sangat mencabar dan rencam terutamanya dari sudut perundangan dan operasi.

 

Marginnya pula tidaklah sebaik yang disangkakan kerana modal ‘incidental’ yang terpaksa dikeluarkan sangat banyak akibat perubahan undang-undang.

 

Akhirnya mereka pun mengibar ‘bendera putih’ dan kebanyakan syarikat sdn bhd yang mereka tubuhkan bagi tujuan ini sudahpun berkubur.

 

Faktor 2 : Kelangsungan organisasi

Saya tidak pernah jemu-jemu bercakap kepada masyarakat tentang faktor ini walaupun ramai yang rasa ia tidak penting. Ia terkait dengan faktor pertama di atas.

 

 

wasiyyah

 

 

Ramai masyarakat menyangka bahawa buat dokumen dengan sesiapapun baik syarikat sdn bhd ataupun individu itu OK sahaja dan ia sudah mencukupi. Kepada golongan ini, asalkan ia telah dibuat, maka selesailah semua urusan.

 

Mereka tidak faham bahawa kerana dokumen itu didraf oleh pihak yang berkenaan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan mereka, jika syarikat sdn bhd itu sudah tutup ataupun individu itu sudah mati lebih awal, maka waris-waris pelanggan akan berada di dalam keadaan terkial-kial mencari pihak lain untuk membawa dokumen itu melalui proses perundangan yang terlibat selepas pelanggan meninggal dunia.

 

Masyarakat perlu faham bahawa kebanyakan dokumen perancangan harta ini perlu melalui proses perundangan SELEPAS berlaku kematian bukan ketika masih hidup !

 

Jadi masyarakat perlu buat dokumen ini dengan pihak yang diyakini akan masih beroperasi atau masih hidup selepas mereka mati.

 

Jika pihak selain daripada penyedia dokumen itu yang membawa dokumen itu melalui proses perundangan ada risiko walaupun dokumen itu dari sudut teknikal mungkin betul tetapi jika gagal dihujahkan dengan baik, ada kemungkinan ditolak Mahkamah.

 

Faktor 3 : Adakah waris akan terbeban dari sudut kewangan di dalam urusan harta pusaka selepas kematian kita?

Faktor ketiga yang tidak kurang pentingnya juga ialah masyarakat perlu melihat kepada faktor bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung waris-waris selepas kematian kita.

 

Memang kita ada menyediakan dokumen seperti wasiat atau hibah. Mungkin saja hasrat kita membahagikan harta-harta kita akan tercapai kerana keberkesanan dokumen-dokumen ini.

 

Tetapi proses perundangan yang perlu dilalui oleh waris-waris selepas kematian bagi menguatkuasakan dokumen-dokumen ini akan melibatkan kos.

 

  • Berapakah kos yang terlibat?
  • Siapakah yang akan menanggung kos itu?
  • Adakah kos itu akan ditolak daripada harta pusaka?

 

Ini persoalan yang anda perlu tanya di dalam memilih organisasi yang tepat bagi anda merancang harta.

 

Di Wasiyyah Shoppe Berhad, semenjak 2004 kami telah menawarkan pakej perkhidmatan kepada pelanggan di mana kami akan membantu waris-waris untuk melalui semua urusan ini secara PERCUMA selepas kematian pelanggan.  

 

Waris tidak perlu membayar apa-apa caj perkhidmatan kepada kami dan harta pusaka juga diterima mereka 100% tanpa dipotong apa-apa. Bukankah kaedah ini lebih membantu untuk waris.

 

 

wasiyyah

 

 

Sebenarnya ada banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan apabila kita memilih organisasi di mana kita membuat dokumen perancangan harta. Insya-Allah di kesempatan lain akan saya huraikan lagi.

 

Apa pun pilihan kita semuanya mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri. Saya hanya berkongsi dari sudut pengalaman. Pilihan pastinya di tangan anda.

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews