CABARAN MEMPERKENALKAN HIBAH KEPADA MASYARAKAT ISLAM ANTARABANGSA
Semenjak balik daripada mengerjakan umrah hampir 3 minggu yang lepas, jadual saya tiba-tiba menjadi semakin padat.
Dengan izin Allah tiba-tiba saya mendapat banyak pertanyaan tentang hibah daripada seluruh dunia. Mungkin juga ia berpunca daripada pembentangan yang banyak saya lakukan di seminar-seminar antarabangsa kebelakangan ni.
Wakil daripada negara-negara Afrika, Asia Tengah, Timur Tengah dan Eropah menghantar emel dan ingin bertemu dengan saya bagi membincangkan bagaimana hibah boleh dilaksanakan di negara mereka.
Saya sangat seronok kerana usaha kuat kami semenjak 20 tahun yang lalu mulai mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
Di peringkat Malaysia, Wasiyyah Shoppe Berhad telah secara konsisten mendidik masyarakat tentang isu-isu harta pusaka termasuklah tentang pelaksanaan hibah.
Saya rasa secara relatifnya berbanding dengan keadaan 20 tahun lepas, hari ini lebih ramai masyarakat sudah mulai memahami apa itu hibah dan bagaimana ia membantu mencapai hasrat pembahagian harta orang Islam.
Namun di peringkat antarabangsa, kesedaran dan kefahaman ini masih lagi jauh ketinggalan.
Ramai orang terperanjat bila saya ceritakan bahawa umat Islam termasuk di negara Timur Tengah, masih lagi tidak faham tentang hibah dan wujud banyak kekeliruan.
Ironinya, apabila kami membuat penyelidikan ilmiah, kebanyakan kitab rujukan kami berasal daripada negara Timur Tengah!
Saya pernah diasak bertubi-tubi dengan soalan asas adakah hibah melarikan diri daripada faraid oleh dua orang profesor dari Universiti Hamad Khaliffa Doha ketika membentangkan kertas kerja mengenai hibah.
Puas juga saya cuba memberikan kefahaman kepada mereka namun mereka tetap berkeras mengatakan hibah bercanggah dengan hukum faraid.
Pada pandangan mereka apa sahaja yang kita lakukan semasa hidup kepada hart akita dengan niat supaya ia tidak diagihkan kepada waris-waris mengikut hukum faraid adalah bercanggah dengan hukum Syarak.
Akhirnya saya terpaksa menggunakan contoh Sheikh Sulaiman Al-Rajhi, pengasas Bank Al-Rajhi.
Beliau telah mewakafkan dan menghibahkan keseluruhan hartanya sehingga beliau dikenali sebagai ‘The poor billionaire’ oleh Majalah Forbes.
Hari ini Sheikh Sulaiman Al-Rajhi langsung tidak memiliki apa-apa harta pun yang berdaftar di atas namanya.
Soalan saya kepada kedua-dua profesor ini, adakah Sulaiman berdosa kerana tiada lagi sebarang hartanya akan difaraidkan bila dia mati kelak? Mereka hanya terdiam!
Inilah cabaran persepsi yang akan saya lalui apabila saya membawa Wasiyyah Shoppe Berhad meneroka pasaran antarabangsa.
Bukan sahaja saya perlu berkongsi pengalaman kami dengan pemerintah, cendekiawan, agamawan, birokrat dan teknokrat antarabangsa, malah selepas melepas halangan itu, bagi memastikan usaha kami benar-benar berkesan, kami juga perlu turun ke dalam masyarakat dan mengubah persepsi mereka pula.
Ini belum lagi persepsi yang mereka ada bahawa anak Melayu ini cuba mengajar orang Arab sesuatu yang datang daripada kitab mereka sendiri! Ibaratnya seperti seorang anak Melayu cuba mengajar orang putih cara terbaik makan keju.
Selain daripada menangani cabaran persepsi, saya juga perlu melihat kepada kesesuaian undang-undang negara berkenaan untuk menerima hibah sebagai salah satu instrumen perancangan harta. Hakikatnya semua negara unik dan mempunyai kerangka undang-undang tersendiri.
Jika hibah tidak boleh ‘fit’ ke dalam kerangka undang-undang negara berkenaan, pastinya tiada manfaat untuk hibah diguna pakai sebagai instrumen perancangan harta oleh rakyat negara berkenaan.
Saya perlu mempelajari dan meneroka aspek undang-undang negara tersebut secara mendalam. Saya juga perlu memastikan pemerintah negara berkenaan akan ada ‘buy-in’ yang baik ke atas usaha ini.
Pengalaman ini sebenarnya sama seperti yang saya lalui di Malaysia juga semenjak 20 tahun lepas.
Pada ketika itu tiada langsung kefahaman masyarakat tentang hibah malah saya dituduh pula sebagai ‘Ayah Pin 2` kerana menyebarkan ilmu hibah yang didakwa tidak wujud dalam Islam.
Malah sistem perundangan di Malaysia juga tidak kondusif untuk dilaksanakan hibah pada ketika itu.
Masih jelas dalam ingatan saya, kami bertungkus-lumus melakukan apa sahaja yang terdaya bagi membolehkan masyarakat terutamanya pemerintah bagi memahami hibah dan signifikannya kepada umat Islam.
Alhamdulillah, selepas puluhan tahun berusaha, saya dapat melihat dengan mata sendiri perubahan ketara dalam eko-sistem perundangan dan sosial Malaysia.
Kes-kes hibah semakin banyak diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Sambutan masyarakat semakin memberangsangkan. Fatwa dan undang-undang berkenaan hibah juga semakin banyak.
Wasiyyah Shoppe Berhad hari ini muncul sebagai penyedia dan pelaksana hibah terbesar di Malaysia hasil kerja keras puluhan tahun dan pastinya juga dengan dokongan kuat pemegang taruh lain seperti Lembaga Pengarah, Panel Syariah, pasukan pengurusan dan daie Wasiyyah Shoppe Berhad. Syukur Alhamdulillah.
Bagi berdepan cabaran di peringkat antarabangsa ini , saya yakin, kami telah mendapat latihan yang mencukupi kerana pengalaman berharga yang telah kami lalui selama ini.
Kami sangat faham bahawa ini adalah larian marathon panjang yang memerlukan stamina yang banyak dan strategi yang tepat. Usaha ini bukan larian pecut 100m yang akan tamat dalam masa beberapa saat sahaja.
Kami tidak menjangkakan hasil dari usaha ini akan dimaterialisasikan sekelip mata.
Oleh itu kami sudah pun bersedia dari sudut mental, fizikal dan spiritual bagi mengharungi satu lagi perjalanan panjang yang mencabar.
Apapun saya yakin, saya dan pasukan saya mempunyai stamina dan daya ketahanan yang tinggi untuk melalui semula pusingan roda itu di peringkat antarabangsa.
Benar, saya tidak lagi semuda atau bertenaga seperti sebelum ini, namun yang pastinya saya lebih bijaksana.
Aspirasi untuk membantu umat Islam sedunia dalam urusan hibah ini kepada saya sebenarnya sudah pun melangkaui sebab perniagaan dan pasaran.
Ia merupakan perjuangan peribadi yang akan saya bawa sehingga ke penghujung nyawa kerana saya faham inilah pelaburan akhirat saya yang terbaik. Semoga Allah SWT menerima semua pengorbanan ini.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH