Kami tidak jual kertas timbang kati, kami beri `NILAI' kepada umat Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 04 Dec 2024 07:00 AM

KAMI TIDAK JUAL KERTAS TIMBANG KATI, KAMI BERI ‘NILAI’ KEPADA UMAT ISLAM

 

 

BEBERAPA hari lepas, saya ditanyakan soalan kenapa Wasiyyah Shoppe Berhad mengenakan caj beribu-ribu ringgit untuk perkhidmatan perancangan harta secara Syariah kami.

 

Kenapa perlu bayar beribu-ribu ringgit semata-mata kerana nak membuat dokumen hibah dan dokumen-dokumen lain?

 

Bukankah kos kertas dan kos dakwat mesin pencetak murah sahaja? Bukankah ada pihak lain yang hanya mengenakan caj hanya beberapa puluh ringgit sahaja untuk menyediakan dokumen-dokumen ini.

 

Kos mencetak dokumen hibah lebih murah dari harga satu hidangan di restoran makanan  segera !

 

Sebenarnya memang kos untuk mencetak dokumen itu sangat murah. Anda boleh sahaja buat sendiri di rumah.

 

Draf sendiri, cetak sendiri, tandatangan sendiri, simpan sendiri dokumen itu  di tempat yang terjamin keselamatannya dan selepas kematian anda , pastikan waris-waris tahu apa yang perlu dibuat dan ke mana perlu pergi.

 

Kos kepada anda jika ini yang ingin anda lakukan, mungkin tidak sampai RM10! Lebih murah daripada harga satu hidangan makanan di resotran makanan segera.  

 

Namun anda perlu ada cukup pengetahuan, pengalaman dan kemahiran bagi memastikan dokumen anda itu patuh hukum syarak dan akan berkuatkuasa mengikut undang-undang Syariah dan undang-undang Sivil negara.

 

Anda tidak memerlukan Wasiyyah Shoppe Berhad untuk tugas ini. Anda boleh buat sendiri sahaja.

 

Ia mudah. Datanglah ke semua seminar, bengkel, ceramah, pembentangan kertas kerja akademik yang dianjurkan oleh pihak yang berkuasa dan berpengetahuan tinggi  di dalam bidang ini seperti Majlis Agama Islam Negeri, Mahkamah Syariah, universiti, Peguam, Jabatan Peguam Negara dan semua pihak-pihak berkaitan yang lain.

 

 

wasiyyah

 

 

Anda boleh hadir ke program seperti ini yang dianjurkan di seluruh negara sepanjang tahun.

 

Jika ia program tertutup, pastikan anda berada di dalam senarai jemputan kerana bagi program tertutup biasanya hanya mereka yang diiktiraf sebagai pakar sahaja yang boleh  hadir. Jika ia program terbuka, bayar sahaja apa fi yang dikenakan.   

 

Hadam betul-betul dan dengarkan segala isu-isu teknikal hukum syarak dan undang-undang berkaitan kerana ia terkait dengan dokumen yang anda buat.

 

Pastikan anda tahu segala perubahan dan pengenalan undang-undang terbaru serta alasan penghakiman bagi menganalisis situasi-situasi kes yang pelbagai dan unik.

 

Pastikan juga anda faham Perlembagaan Malaysia supaya dokumen anda itu jelas kedudukannya sama ada di bawah bidang kuasa (jurisdiction) undang-undang Syariah atau Sivil kerana kedua-dua undang-undang ini mempunyai ‘treatment’ dan proses yang berbeza.

 

Selepas anda berjaya menguasai semua ilmu ini, carilah peluang untuk duduk berbincang dengan pakar-pakar undang-undang yang berpengetahuan tinggi,  berpengalaman dan berotoriti untuk memastikan kefahaman anda bertepatan dengan realiti sebenar.

 

Selepas anda benar-benar yakin kefahaman anda ‘spot-on’ , buatlah dokumen anda sendiri. Kos untuk mencetak dokumen ini memang sangat murah.

 

Berapa pula kos untuk mempelajari segala ilmu-ilmu yang berkaitan di atas? Anda fikirkan sendiri.  

 

 

wasiyyah

 

 

Saya tahu segala-galanya tentang harta pusaka. Tak perlu pun perkhidmatan Wasiyyah Shoppe Berhad!

 

Anda rasa saya sedang bersikap sinikal? Saya memang ada berjumpa dengan orang yang buat segala apa yang saya sebutkan di atas.

 

Seorang hamba Allah pernah memberitahu saya dia sudah bertahun-tahun lamanya mengikuti pelbagai seminar, bengkel, ceramah tentang urusan harta pusaka.

 

Dengan seronoknya dia memberitahu dia tahu segala-galanya tentang urusan ini dan kerana itu dia tidak perlu perkhidmatan syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad! Semua dokumen berkaitan hartanya dibuat sendiri dan dia sangat yakin ia akan berkuatkuasa.

 

Saya sangat kagum dengan semangat dan keazaman beliau. Sangat jarang saya bertemu dengan orang awam yang sangat ‘passionate’ mempelajari ilmu fiqh mawarith ini. Apa yang diceritakannya kepada saya juga tepat dari segi hukum syarak dan undang-undang.

 

Namun apabila saya bertanyakan beberapa soalan kepadanya, dia terdiam dan termenung panjang.

 

Soalan saya ialah, “Tuan memang telah tahu segala-galanya tentang urusan harta ini tetapi adakah isteri dan anak-anak tuan tahu? Adakah mereka bersama-sama tuan hadir semua seminar dan bengkel untuk mempelajari ilmu ini? Yang pakar tentang hal ini ialah tuan tetapi tuan yang akan mati dan yang akan menguruskan harta pusaka tuan  ialah mereka. Tahap ilmu mereka sebaik tuan kah ?”

 

Reaksinya… krik krik krik.

 

 

wasiyyah

 

 

Masyarakat fikir urusan harta pusaka hanya sekadar membuat dokumen

Selama puluhan tahun inilah antara silap faham masyarakat yang saya jumpa.

 

Kepada mereka yang  merasakan sudah cukup ilmu berkaitan, mencetak dokumen berdasarkan apa yang mereka tahu sahaja dirasakan sudah mencukupi.

 

Apa yang mereka tidak sedar ialah pelaksanaan dokumen itu berdasarkan pengetahuan sahaja tidak memadai.

 

Undang-undang dan tafsiran hakim yang sentiasa berubah dengan keadaan semasa memungkinkan apa sahaja dokumen yang kita buat hari ini tidak lagi relevan pada masa ia diperlukan iaitu selepas kematian kita.

 

Di sinilah Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai syarikat amanah patuh Syariah yang terbesar di Malaysia, memainkan peranan yang signifikan.

 

Sebagai pemain industri utama, kami sentiasa mendapat makluman terkini mengenai sebarang perubahan undang-undang yang berkaitan.

 

Menjadi tanggungjawab utama kami untuk memastikan dokumen yang kami bantu pelanggan sediakan selama ini sentiasa berkuatkuasa di dalam apa keadaan sekali pun walaupun undang-undang beruah.

 

Apabila terdapat perubahan undang-undang, kami akan sentiasa mengambil inisiatif untuk membantu mengemaskini dokumen mereka. Inilah yang telah kami buat sepanjang 20 tahun beroperasi dan akan terus lakukan pada masa hadapan.  

 

Tanggungjawab ini dapat kami  laksanakan dengan baik kerana sebagai syarikat amanah kami mempunyai unsur kelangsungan atau  ‘perpetuity’ yang dinyatakan dengan jelas di dalam Seksyen 33 Akta Syarikat Amanah yang mengikat kami.

 

 

wasiyyah

 

 

Wasiyyah Shoppe Berhad tidak seperti syarikat sdn bhd biasa atau individu yang boleh mati, tidak boleh menutup operasi kecuali dengan kebenaran mahkamah.

 

Mahkamah dalam memberi keizinan akan melihat sama ada kami telah melaksanakan semua tanggungjawab kami kepada pelanggan dengan sempurna.

 

Dengan jumlah pelanggan mencecah  100,000 orang, hampir mustahil mahkamah akan membenarkan kami menutup operasi.

 

Ini bermakna walaupun pelanggan meninggal dunia 20, 30 ataupun 100 tahun akan datang, insya-Allah  Wasiyyah Shoppe Berhad akan tetap wujud untuk membantu waris-waris.

 

Di sinilah sebenarnya NILAI TERBESAR  membuat dokumen dengan Wasiyyah  Shoppe Berhad terserlah.

 

Selain daripada kemahiran teknikal, pengalaman, tadbir urus korporat terbaik dan unsur kelangsungan, kami akan cuba sedaya-upaya untuk memastikan dokumen yang dibuat berkuatkuasa supaya hasrat pelanggan kami tercapai dan nasib waris-waris mereka terjamin. Nilai ini tidak boleh dicapai hanya dengan kos mencetak kertas sahaja!

 

Dari sudut kefahaman dan kepakaran teknikal, mana-mana individu pun boleh selepas mereka melalui proses pembelajaran yang saya sebutkan di atas, boleh mempunyai pengetahuan yang baik untuk membuat dokumen tetapi mereka tidak mempunyai unsur NILAI ini secara komprehensif.

 

Masyarakat pula menyangka apabila dokumen sudah dibuat, maka semua urusan sudah selesai dan dokumen itu pasti berkuatkuasa tanpa mengetahui hakikat sebenar dokumen itu mungkin menjadi tidak relevan apabila undang-undang berubah.

 

Jika dokumen itu tidak berkuatkuasa selepas kematian anda, adakah berbaloi anda berjimat dari sudut kos sedangkan waris-waris anda berdepan pelbagai kesusahan dan cabaran? Renungkan.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews