PERUNDING TAKAFUL KENA FAHAM ISU BERKAITAN HARTA PUSAKA UNTUK ORANG ISLAM
Minggu lepas saya dipanggil ke sesi podcast Persatuan Takaful Malaysia (MTA) yang mana saya dijemput untuk berkongsi ilmu berkaitan hibah.
Saya menyambut baik usaha yang dimainkan oleh MTA bagi mendidik perunding takaful di Malaysia supaya lebih memahami isu-isu berkaitan harta pusaka orang Islam terutamanya yang melibatkan hibah. MTA faham masih ramai perunding takaful terkeliru dengan isu ini.
Untuk pengetahuan kita bersama, MTA ini ahli-ahlinya ialah dari kalangan syarikat-syarikat takaful di Malaysia dan pengerusinya dipilih dalam kalangan CEO syarikat-syarikat takaful ini. Buat masa ini, pengerusinya ialah CEO AIA Takaful.
Saya sebenarnya faham kenapa perunding-perunding takaful masih terkeliru dengan isu ini. Ia bukanlah satu cabang ilmu yang mudah untuk difahami dan dikuasai.
Ini kerana ia melibatkan hukum-hakam yang kompleks dan dipenuhi pelbagai pandangan yang kebanyakan waktunya penuh dengan khilaf, aspek teknikal perundangan Syariah dan juga perundangan sivil yang terkadangnya berkonflik antara satu sama lain.
Dinamik tiga elemen di atas yang sedang berevolusi dengan lajunya juga menjadi cabaran untuk kita memahami apa yang sedang berlaku. Saya sendiri yang sudah 26 tahun berada di dalam industri juga ada masanya ‘terkial-kial’ cuba memahami apa yang berlaku.
Bukan sahaja perunding takaful, malah perancang kewangan profesional yang mempunyai persijilan juga saya dapati masih banyak yang terkeliru. Kekeliruan dalam kalangan masyarakat pula tidak perlulah kita perincikan, memang serabut.
Terdapat beberapa kekeliruan dalam kalangan perunding takaful yang saya huraikan di dalam sesi podcast tersebut. Antaranya ialah :
Kekeliruan Pertama
Saya dimaklumkan oleh MTA bahawa antara kekeliruan yang paling besar dalam kalangan perunding takaful ialah apabila mereka menyatakan bahawa jika hibah takaful sudah dibuat maka semua urusan hibah harta lain juga telah selesai termasuklah hibah untuk rumah mereka.
Ini tidak betul sama sekali kerana rukun hibah menetapkan bahawa harta yang dihibahkan mestilah dideskripsi dengan tepat.
Tidak betul apabila hibah untuk polisi takaful telah dibuat maka secara automatik rumah atau kesemua harta mereka juga telah dihibahkan. Ini kerana akad hibah untuk rumah atau harta-harta lain itu mestilah menyebut dengan jelas bahawa deskripsi harta yang dihibah serta siapakah penerimanya.
Kekeliruan kedua
Perunding takaful juga terkeliru apabila selalu mempromosikan bahawa apabila penerima hibah telah menerima hibah manfaat takaful itu, maka bolehlah duit itu dipesankan oleh peserta takaful untuk digunakan bagi membayar hutangnya, menyerahkan sebahagian manfaat itu kepada orang tertentu, manfaat itu digunakan untuk menebus hak faraid waris-waris lain ataupun penerima hibah hendaklah menggunakan manfaat itu bagi tujuan seperti yang diarahkan peserta takaful.
Hujah ini juga tidak betul. Apabila kita telah meletakkan nama penerima hibah kepada manfaat takaful itu, manfaat itu sudah menjadi miliknya 100%.
Baik dari segi hukum mahupun undang-undang, penerima hibah itu TIDAK TERIKAT untuk menggunakan manfaat itu bagi tujuan seperti yang ditetapkan oleh peserta takaful. Penerima hibah mempunyai pilihan untuk ‘patuh’ ataupun tidak kepada arahan peserta takaful tentang bagaimana manfaat takaful itu hendak digunakan.
Sama ada hak waris-waris lain ke atas harta pusaka contohnya rumah boleh ditebus atau tidak menggunakan manfaat itu sebenarnya tergantung penuh kepada waris berkenaan.
Sekiranya waris itu setuju haknya ditebus pada nilai tertentu, maka bolehlah penerima hibah itu membayar nilai itu daripada manfaat takaful yang diterimanya. Jika mereka enggan melepaskan hak mereka, maka ia tidak boleh ditebus.
Solusi saya bagi keadaan ini mudah sahaja. Daripada penerima hibah bersusah-payah ingin menebus bahagian waris lain (mungkin waris lain itu setuju bahagiannya ditebus atau mungkin juga mereka tidak bersetuju), baiklah pemilik rumah itu semasa hidupnya, hibahkan sahaja rumah itu kepada penerima hibah. Selesai masalah. Tak perlu pun bergelut dengan waris-waris lain nak tebus bahagian.
Kekeliruan ketiga
Semenjak azali lagi, sering saya ditanya soalan adakah hibah itu melarikan diri daripada faraid memandangkan penyerahan harta itu tidak berlaku sekarang.
Kekeliruan ini juga dibangkitkan oleh perunding takaful yang menyangkakan bahawa hibah itu ialah penyerahan harta selepas kematian maka sekaligus ia melarikan diri dari faraid.
Seingat saya semenjak 26 tahun menceburi bidang ini, inilah antara kekeliruan umat Islam yang paling banyak saya temui bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Untuk kes penyerahan harta selepas mati (bagi kes yang berdokumen), ia hanya terkait dengan wasiat sahaja dan itu pun tertakluk kepada hukum-hukum berkaitan wasiat.
Untuk hibah, penyerahan harta wajib berlaku ketika hidup iaitu sebaik selepas rukun dan syarat disempurnakan. Contohnya, jika hari ini 1 Januari 2024 si ayah telah berakad hibah dengan anaknya, maka apabila sempurna rukun dan syarat, maka hibah itu telahpun sah dan harta itu telah diserahkan kepada penerima hibah berkuatkuasa tarikh 1 Januari 2024.
Cumanya masyarakat sering keliru dengan tafsiran penyerahan harta itu. Ramai yang masih beranggapan bahawa hanya apabila pada dokumen pemilikan harta itu telah bertukar nama daripada nama pemberi kepada nama penerima, maka barulah penyerahan itu berlaku.
Dari sudut hukum syarak, hibah itu sah apabila semua rukun dan syarat telah sempurna walaupun di dalam dokumen pemilikan harta seperti geran tanah atau akaun bank masih di atas nama pemberi.
Di dalam satu alasan penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Perak pada 2021, ada disebut oleh hakim bahawa pindahmilik nama di dalam geran tanah hanyalah isu pentadbiran sahaja dan Mahkamah Syariah tidak melihat ia sebagai satu syarat yang mengesahkan hibah telah berlaku.
Syarat penyerahan harta ini dilihat dari sudut ‘qabd’ iaitu syarat hibah dalam konteks hukum syarak. Penyelidikan ilmiah yang kami jalankan menunjukkan bahawa ‘qabd’ ini boleh berlaku di dalam pelbagai bentuk dan bukan sekadar pindahmilik nama di dalam dokumen pemilikan harta sahaja.
Bagi Wasiyyah Shoppe Berhad, kami secara teliti akan memastikan bahawa kesemua rukun dan syarat hibah itu telah disempurnakan bagi memastikan hibah itu sah dan hasrat pemberi untuk menghibahkan harta itu kepada penerima akan tercapai.
Oleh itu tiada isu bahawa hibah itu melarikan diri daripada faraid dan penyerahan harta berlaku selepas kematian!
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH