DEMI KEBAYA: Warisan Bangsa Serantau
Baju kebaya disulam kelimkan,
Dipakai mari dara berdandan;
Miskin kaya jangan bezakan,
Budi jadi satu ujian
Sumber: Kurik Kundi Merah Saga
SEWAKTU berusia 15 tahun, dengan bangganya saya mengenakan kebaya pendek, sepasang kebaya satin biru muda yang saya rasakan ‘tres chic’.
Setibanya di Kanada beberapa tahun kemudian, saya menggayakan pula kebaya batik ungu begitu anggun, tidak mengendahkan kesejukkan di musim luruh di Toronto, untuk mendaftarkan kehadiran kami di pejabat Jabatan Pelajar Malaysia.
Dan apabila berkahwin, kebaya lace putih menjadi pilihan untuk busana Raja Sehari, yang saya simpan hingga hari ini, dengan harapan bahawa salah seorang puteri saya akan memakainya suatu hari nanti.
Boleh dikatakan hingga hari ini, memakai kebaya tradisi dipadankan dengan selendang panjang begitu sebati di jiwa, dekat di hati.
Jadi apabila kebaya disenaraikan dalam Senarai Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), saya turut bangga terutamanya apabila melihat Malaysia, bersama-sama dengan Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, dan Thailand mendapatkan pengiktirafan UNESCO dengan gabungan bersama. Syabas Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara!
Pengumuman semasa sidang ke-19 Jawatankuasa Antarabangsa untuk Intangible Cultural Heritage of Humanity (IGC ICH) di Asuncion, Paraguay, bulan ini sesuatu yang dekat di hati.
Tambahan pula, penyenaraian ini menandakan kejayaan ketiga Malaysia dalam penamaan bersama atau antarabangsa, selepas penamaan bersama 'Pantun' dengan Indonesia dan 'Upacara Wangkang' dengan China kedua-duanya pada tahun 2020.
Malaysia mempunyai banyak warisan tradisional, kebanyakannya berpotensi untuk mendapat pengiktirafan global dan memperkaya produk pelancongan serta menyumbang kepada ekonomi.
Sarawak contohnya, memperlihatkan pelbagai tarikan budaya etniknya dan keajaiban alamnya dan terus mengejar pengiktirafan dunia seperti Kuching, Creative City of Gastronomy (UNESCO), World Craft City dan Gua Niah sebagai UNESCO Heritage Site kedua di Sarawak.
Kembali kepada kebaya, pemahaman serantau dengan negara-negara anggota ASEAN seperti Brunei, Indonesia, Singapura, dan Thailand, memastikan warisan bersama kekal mampan dan mempromosi kebaya sebagai simbol warisan. Semangat Serumpun Sehati Sejiwa benar-benar mendalam.
Songket, Batik, Sutera atau Kapas
Kebaya, pakaian tradisional digayakan wanita di pelbagai negara Asia Tenggara, mempunyai tempat istimewa di hati ramai sebagai simbol budaya dan warisan peribadi. Dari peristiwa penting dalam hidup sehingga perayaan harian, kebaya dihargai kerana begitu anggun, sejarahnya, dan begitu ‘versatile’, sesuai untuk anak dara pingitan, ibu-ibu dan majlis rasmi.
Peragakan kebaya labuh songket untuk majlis formal. Batik songket untuk hari santai. Kebaya kain kapas untuk gadis-gadis di alam persekolahan. Fesyen lace untuk hari perkahwinan!
Pengalaman peribadi berbaju kebaya sering kali merungkai kenangan indah dalam kehidupan. Sama ada itu kebaya batik yang berwarna-warni atau kebaya songket kekal warisan turun temurun, ia menyimpan nilai nostalgia.
Teringat lagu Blues Gang dahulu, “Siapakah dia itu berbaju kebaya, katakan pada aku gadis manakah ia …”
Setiap kebaya membawa cerita, mencerminkan perjalanan unik dan hubungan pemakainya dengan akar budaya.
Pengiktirafan terkini ke atas kebaya dalam oleh UNESCO adalah satu bukti pentingnya khazanah budaya. Tonggak sejarah ini tidak hanya meraikan keindahan dan kemahiran seni kebaya tetapi juga menggaris pentingnya memelihara dan mempromosi warisan budaya secara global.
Melalui inisiatif seperti ini, negara-negara mampu mempersembahkan kain tenunan budaya yang kaya, membina rasa muhibbah serantau dan kebanggaan Asia Tenggara. Dari khazanah pantun Riau kita dengarkan…
Baju kebaya berwarna ungu,
Pakaian dara waktu berhelat;
Baru bersua sudah merayu,
Manakan hamba mau mendekat
Penyertaan kebaya dalam senarai UNESCO membuka pintu kepada peluang baru, seperti pelancongan budaya dan pembangunan ekonomi.
Sebagai simbol warisan, kebaya mempunyai potensi untuk menarik pelawat dari seluruh dunia, memberikan mereka gambaran tentang tradisi dan cerita kaya di sebalik pakaian ikonik ini.
Selain itu, usaha-usaha kerjasama dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN untuk menjaga dan mempromosi up kebaya mencerminkan semangat identiti bersama dan kerjasama rantau ini.
Dengan bekerjasama untuk memelihara warisan budaya ini, negara-negara di Asia Tenggara sedang melabur dalam masa depan bersama di mana tradisi dipelihara dan dirayakan untuk generasi akan datang.
Pada hakikatnya, kebaya mewakili lebih daripada sekadar sehelai baju; ia adalah penghubung ke masa lalu, satu perayaan kepelbagaian, dan simbol tonggak peribadi.
Sementara kita terus menerima dan menghormati warisan budaya ini, kita memberi penghormatan kepada tukang tenun, pereka, dan pemakai yang membantu membentuk kisah kebaya, menyatukan kain tenun tradisi yang merentasi sempadan dan masa.
Bagi mereka yang pernah mengenakan kebaya, setiap baju, setiap kain, dan selendang mempunyai kenangan tersendiri, dan ada keistimewaan, melambangkan hubungan warisan dan satu nilai kesenian tidak terhingga.
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA