MENGHARGAI, MENGENANG JASA PENCETUS-PENCETUS ILHAM
Setiap insan memerlukan mereka yang mencetuskan ilham dalam kehidupan.
Walau sedetik. Walau secebis kata. Walau sebuah karya atau persembahan.
Minggu ini saya kehilangan dua orang insan yang pernah mewarnai kehidupan dan penulisan saya sekali gus. Arwah Yassin Salleh, seorang penyair, pengarah filem dan sastrawan prolifik dan Arwah Datuk M Feisol Hassan, merupakan Presiden Royal Lake Club semasa saya berkhidmat di situ.
Kehilangan ini semakin terasa menusuk kalbu sejak perkhabaran ini. Semakin hari semakin sedih bercampur kerelaan kerana ini ketentuan Illahi.
Bertemu Yassin Salleh
Semasa kecil, saya dibawa menonton teater di Universiti Malaya oleh ibu saudara Makde Rahey dan pilihan hatinya ketika itu, Yassin Salleh. Dari saat itu, dia saya kenali sebagai Uncle Yassin, yang setia menjaga dan mencintai Auntie Rahey sehingga akhir hayat.
Semasa bertemu dengannya buat pertama kali, Uncle Yassin menghadiahkan satu fail yang mengandungi sajak bertajuk Don’t Quit. Mungkin ini satu pegangan hidupnya.
Apabila beliau ingin memohon restu ayahanda saya untuk mengahwini Makde Rahey, Uncle Yassin meminta tidak lain tidak bukan Sasterawan A Samad Said untuk mewakilkan dan menyampaikan hajatnya.
Almarhum Yassin Salleh memang orang sastera. Orang filem. Beliau seorang pemikir yang berani, memiliki pemikiran tersendiri. Bagi saya, Yassin Salleh merupakan seorang seniman yang tidak minta didendang.
Rekod filemnya pernah memenangi 10 anugerah FFM - kesemua itu diberikan untuk filem "Dia Ibuku" yang dibintangi oleh Datuk Sarimah Ahmad dan M Jamil. Beliau dianggap sebagai pengarah yang unik, membangkitkan emosi dari setiap sudut, mengejar kualiti filem yang tidak mengenal kata ‘mediocre’ atau ‘bolehlah’.
Sajaknya begitu tajam, kalau sajak cinta, penuh mendayu.
Apabila saya mula menulis, dia mengatakan betapa bangganya dengan penulisan saya, inilah satu inspirasi kerana Almarhum tidak mudah memuji. Uncle Yassin hadir ke PBAKL bersama sepupu Hani Wati untuk menyokong buku-buku terawal saya. Apabila berjumpa, mesti Uncle Yassin akan menceritakan tentang Almarhum Encik, ayah saya yang dikasihi.
Kisah-kisah itu, kini hanya tinggal sebagai kenangan…
Makyung dan Datuk M Feisol Hassan
Hanya dua hari selepas pemergian Ayahanda Yassin Salleh, saya menerima pula berita pemergian Datuk M Feisol Hassan buat selama-lamanya.
Semasa saya di Royal Lake Club, Almarhum Datuk Feisol banyak mengajar saya tentang kehidupan, professionalisma dan juga memperkenalkan makyong kepada saya, lantas menimbulkan kesedaran pentingnya mengumpul segala kisah hikayat dan cerita rakyat lama.
Beliau seorang yang meminati budaya dan kehidupan yang beradab dan professional, begitu unik dan kreatif.
Datuk M Feisol sering berkata pada saya, semasa mudanya, sebagai seorang pegawai, Tun Dr Ismail selalu berpesan, “There must be consistency in stupidity. What more in wisdom.” Saya mengingati kisah ini dan telah mengabadikannya dalam buku Mutiara Kata Alam Melayu.
Pada tahun 1996, Datuk Feisol merupakan Pengerusi Majlis Sovereign Ball, dan telah mengatakan pada saya, dia ingin mepersembahkan tarian makyong pada Seri Padula Baginda Yang diPertuan Agong.
Maka saya pun berusaha memenuhi hajatnya dan akhirnya, Primadonna Makyong Khadijah Awang membuat persembahan tersebut di Royal Lake Club. Seluruh hadirin termasuk Seri Paduka Baginda begitu kagum dengan pementasan itu dan mengucap tahniah kepada Royal Lake Club. Itulah kali pertama saya melihat atau mengenali Makyong.
Pada satu majlis lain iaitu President’s Ball, salah satu acara adalah permainan pancaragam Bagpipe. Kami selalu menjemput ahli pancaragam sekolah Victoria Institution atau lebih dikenali sebagai VI atau Sekolah St John. Namun bila dikelolakan DatukFeisol, beliau meminta saya mendapatkan bagpipers dari Scotland!
Dengan saranannya itu, saya pun berusaha dan dibantu beberapa pihak yang menghubungkan saya dengan pemain bagpipers dari pancaragam juara dunia!
Persembahan itu turut ditaja Malaysia Airlines dengan syarat pertunjukkan percuma ditunjukkan untuk orang ramai.
Datuk Feisol seorang yang inginkan kelainan, segala yang terbaik dan mempunyai ‘sense of humour’. Banyak jasanya pada organisasi yang diketuai Almarhum, tapi bagi saya, Datuk Feisol seorang pemikir di luar kotak. Beliau juga memperkenalkan saya pada sarjana Dunia Islam.
Pada awal tahun ini Almarhum mengingatkan saya, untuk mendalami kajian tentang Gunung Jerai yang dekat di kampung halamannya.
Saya merasa sangat bertuah kerana sepanjang perjalanan yang penuh cabaran sebagai penulis dan kini penerbit, Allah SWT telah membimbing saya kepada banyak individu yang memberi tunjuk ajar dan menginspirasikan saya dalam bidang penulisan.
Mereka telah memberi ilham dan sokongan yang tiada ternilai, membantu saya memperkukuh kemahiran dan mengembangkan bakat yang diberikan oleh-Nya. Saya sentiasa bersyukur atas kehadiran mereka dalam hidup saya, dan semoga segala pengorbanan dan ilmu yang mereka kongsi dapat terus memberi sinar dalam setiap perkataan yang saya tulis.
Semoga roh Almarhum berdua dicucuri rahmat. Semoga Almarhum Uncle Yassin dan Datuk M Feisol Hassan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beramal soleh. - DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA