Pentas Sunda mempengaruhi sejarah tamadun di Kepulauan Melayu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 14 Oct 2024 07:00 AM

Pentas Sunda mempengaruhi sejarah tamadun di Kepulauan Melayu

 

 

 

Kira-kira 550 juta tahun lalu, bumi terbahagi kepada dua benua besar, satu terletak di belahan utara dinamakan Laurentia, manakala yang lain terletak di belahan selatan dinamakan benua besar Gondwana. Di Gondwana inilah bahagian tertua Kepulauan Melayu terbentuk.

 

Mengikut pakar pengkaji, Benua Gondwana merupakan benua yang sunyi tanpa kehidupan, cuma padang pasir, tasik, dan sungai. Melalui proses pembentukan mukabumi yang berterusan, di muara salah satu sungai benua Gondwana, terzahirlah kepulauan Langkawi.

 

Pasir, mendakan dan lumpur diangkut ke hilir, dan apabila sungai bertemu dengan lautan purba, endapan halus ini terendapkan dan akhirnya membentuk delta. Bukti fakta ini terlihat dengan kajian  fosil di batu yang di puncak Gunung Matcincang di Langkawi, menunjukkan bahawa kawasan ini pernah menjadi sebahagian dari persekitaran lautan yang sangat cetek.

 

 

parafrasa

 

 

Kajian terbaru, menunjukkan semasa peralihan Paleolitik-Mesozoilitik 250 juta tahun yang lalu, Lautan Panthalassa merangkumi hampir 70% permukaan bumi, dengan benua besar Pangaea meliputi separuh dari bentuk muka bumi atau permukaan bumi.

 

Selepas jutaan tahun, bentuk muka bumi dan lautan terus mengalami perubahan melalui pergerakan benua yan terpisah.

 

Pentas Sunda yang merupakan teras bentuk mukabumi Asia Tenggara, merupakan kawasan lengkung gunung berapi yang mewakili sisa-sisa lembah lautan purba.

 

Pentas Sunda berasal secara langsung atau tidak langsung dari pinggir Arabia-India-Australia Gondwana timur oleh pembukaan dan penutupan tiga lembah lautan berturutan, iaitu Palaeo-Tethys (Devonian-Trias), Meso-Tethys (Permian-Kretaseous) dan Ceno-Tethys (Jurasik-Kretaseous). Ia kawasan biogeografi di Asia Tenggara yang merujuk kepada sebuah kawasan yang begitu besar wujud lebih 2.6 juta tahun yang lalu. Pada masa itu, paras laut jauh lebih rendah dari masa kini.

 

Kawasan ini merangkumi keseluruhan Kepulauan Melayu sebenarnya termasuk gugusan Pulau Langkawi, dan Pangkor Laut,  Pulau Pinang, Singapura, Pulau Borneo, Pulau Jawa, Sumatera, Kepulauan Sulu di Indonesia, serta pulau-pulau kecil di Laut Andaman, Sunda, Laut Jawa, dan Laut Cina Selatan (dahulunya Laut Malaya), termasuk Semenanjung Tanah Melayu.

 

Lebih jelas lagi, paras laut rendah mendedahkan hubungan darat yang kini tersembunyi di bawah permukaan lautan. Tanah besar yang tersohor ini merupakan  Pentas Sunda, yang menariknya menghubungkan gugusan kepulauan Filipina ke sebahagian besar Asia Tenggara.

 

Pentas Sunda adalah kawasan biogeografi di Asia Tenggara yang berperanan sebagai jambatan darat penting bagi pergerakan haiwan dan manusia sepanjang zaman. Kewujudan Pentas Sunda bukan sahaja membolehkan haiwan berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain, tetapi juga menjadi faktor penting dalam penghijrahan manusia.

 

 

hikayat

 

 

Kita melihat bukti tamadun manusia dari hasil kajian arkeologi di Lenggong, Gua Niah Pulau Flores dan Gua Callao di Luxon, Filipina. Lakaran gua juga ditemukan di Gua Kanthan, Perak, dan Gua Tambun di Perak dari zaman Neolitik serta di Maros Pangkep Sulawesi, Indonesia.

 

Manusia purba juga dikatakan menggunakan Pentas Sunda sebagai laluan untuk merentasi kawasan ini, berjalan kaki melalui jambatan darat ini hingga ke kawasan-kawasan yang lebih jauh seperti Australia.

 

Keampuhan Pentas Sunda sebagai jambatan darat turut mencorakkan sejarah perkembangan manusia dan kepelbagaian flora serta fauna di kawasan Asia Tenggara sehingga hari ini. Pentas Sunda memainkan peranan penting dalam evolusi dan pergerakan manusia di rantau ini.

 

Walau bagaimanapun, apabila zaman bongkah ais terakhir hampir berakhir, paras laut mula naik, sehingga setinggi 150 meter, menyebabkan tenggelamnya Pentas Sunda.

 

Peristiwa ini mengasingkan populasi di sepanjang rangkaian pulau yang baru terbentuk, mengubah bentuk mukabumi kawasan tersebut. Kini, pengkaji selidik telah meneroka kesan Pentas Sunda terhadap corak migrasi dan sejarah pelbagai tamadun di Kepulauan Melayu.

 

Bukti sains menyokong hipotesis bahawa Kepulauan Melayu dan benua Australia hari ini merupakan sisa-sisa tanah besar yang dikenali sebagai Pentas Sunda. Namun, terdapat laluan lautan sepanjang garis Wallace yang mengandungi antara terusan laut terdalam dunia.

 

Garisan Wallace, hasil kajian Alfred Russell Wallace merupakan sempadan alam semula jadi, memisahkan dua kawasan dengan flora dan fauna yang berbeza di antara Kepulauan Melayu dan benua Austalia.

 

 

hikayat

 

 

Kajian tentang Pentas Sunda menunjukkan peralihan zaman dari Paleolitik ke Mesozolitik serta kenaikan paras laut mengakibatkan tenggelamnya Pentas Sunda, mengasingkan populasi dan mengubah corak mukabumi kawasan tersebut. Pentas Sunda memainkan peranan penting dalam sejarah migrasi manusia dan mempengaruhi sejarah tamadun di Kepulauan Melayu.

 

Sudah tentu, kajian mengenai Pentas Sunda yang memberi pandangan penting terhadap evolusi geografi dan kehidupan di rantau Asia Tenggara mesti diteruskan untuk terus membongkar rahsia Kepulauan Melayu. - DagangNews.com

 

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb