Sakti Merong Mahawangsa - Mengembara ke dalam dunia epik Teater Muzikal Melayu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 25 Nov 2024 07:00 AM

SAKTI MERONG MAHAWANGSA

MENGEMBARA KE DALAM DUNIA EPIK TEATER MUZIKAL MELAYU

 

 

 

 

ANTARA Hikayat teragung Dunia Melayu adalah Hikayat Hang Tuah, Hikayat Awang Sulong Merah Muda dan hikayat yang menceritakan kerajaan lama seperti Hikayat Seri Kelantan, Hikayat Patani dan antara yang paling tersohor, Hikayat Merong Mahawangsa. Begitu juga Hikayat Raja Pasai, Negarakertagama dan Praraton. 

 

Dari kisah hikayat, kita mengenal kerajaan, perundangan, keilmuan, kesusasteraan, kearifan, perdagangan dan kesenian masa silam yang mencerminkan jati diri nusa bangsa. 

 

Namun Hikayat telah melalui satu era hampir tenggelam ditelan zaman. Masalahnya Hikayat tidak berubah bentuk beratus tahun. Ini menjadikan akses pada manuskrip dan hikayat terhad. 

 

Hikayat Merong Mahawangsa merupakan salah satu hikayat teragung dalam tradisi cerita rakyat Melayu yang telah diwarisi melalui budaya penglipurlara.

 

Dengan bimbingan penceritaan tukang cerita, Pak Dalang wayang kulit, Peran Makyung, Mek Mulung, serta bentuk taridra lain yang melibatkan alunan syair, masyarakat dahulu dapat merasai dan memahami kehebatan hikayat-hikayat tersebut, yang menghiburkan sekaligus memberi pengajaran.

 

Jalan ceritanya padat bertemakan pengembaraan, percintaan, konflik, pengorbanan dan selalunya berakhir dengan kejayaan. Bahasanya klasik dan indah; juga mengikut loghat daerah atau negeri di mana ini menambahkan keunikan cerita. 

 

 

hikayat

 

hikayat

 

hikayat

 

hikayat

 

 

Bahasa klasik yang digunakan turut menarik minat para pembaca, sementara loghat daerah atau negeri menambah keistimewaan kepada cerita tersebut. 

 

Malangnya Hikayat Melayu tidak mengalami transformasi sebagaimana karya sastera Barat yang sering diadaptasi ke dalam bentuk filem, teater, dan media digital. Oleh itu, usaha bersama perlu dijalankan untuk menyemarakkan semula kegemilangan hikayat lama dan cerita rakyat sebagai sebahagian daripada warisan, identiti, dan nilai kita.

 

Sebagai penulis, saya mengambil pendekatan untuk menulis semula kisah-kisah lama, menerbitkan novel, antologi, dan kandungan genre hikayat yang berbeza. Melalui kerjasama dengan industri filem, animasi, teater, dan bidang seni lain, kita dapat membawa hikayat-hikayat tersebut ke peringkat yang lebih meluas dan relevan kepada generasi masa kini.

 

Dengan usaha bersama, warisan budaya ini dapat terus hidup serta memberi impak yang mendalam kepada masyarakat Malaysia dan dunia.

 

Sakti Merong Mahawangsa

Bersempena Jubli Mutiara 30 ASWARA, alumni Aswara mempersembahkan teater muzikal Sakti Merong Mahawangsa yang diadaptasi daripada Hikayat Merong Mahawangsa, sebuah hikayat paling tersohor dalam warisan budaya Melayu. Melalui pementasan ini, kami dijemput mengembara ke dalam dunia epik yang penuh dengan kejayaan, konflik, dan pengorbanan. 

 

Hikayat Merong Mahawangsa mengisahkan perjuangan Raja Merong Mahawangsa melindungi Putera Rom yang bakal dikahwinkan dengan Puteri China dari segala ancaman ketila belayar di lautan luas penuh dugaan. 

 

 

hikayat
Bersama Pengarah Muzik, Teuku Umar Ilyani

 

 

hikayat

 

 

Garuda atau Sang Ribut Sayap datang membawa bencana menyerang untuk menggagalkan perkahwinan kedua waris kerajaan besar di dunia. Raja Merong Mahawangsa menghantar Satria Ayun-Ayunan, Satria Berana Pura dan Satria Pusar Sempani Gembira  yang berani, berusaha menghalang Garuda daripada mencapai niat jahatnya. 

 

Pementasan teater "Sakti Merong Mahawangsa" oleh Alumni Aswara di KLPAC begitu menghidupkan semula watak-watak hebat dalam hikayat ini. Skrip yang disusun dengan gemilang, sebuah kerya epik memberikan penghayatan yang mendalam kepada penonton, manakala lakonan mantap dan musik yang menawan susunan pengarah muzik Teuku Umar Ilyani menjadikan setiap adegan mengasyikkan.

 

Tidak hanya itu, penggunaan digital backdrop yang menghidupkan lakonan serta penataan cahaya yang efektif turut menambah ruh kepada pementasan ini.

 

 

hikayat
Saya berpeluang berbual dengan pengarah filem U-Wei Hj Shaari yang turut memberi pujian, menyatakan bahawa ini adalah satu pencapaian yang baik. Turut kelihatan Anwardi Jamil (kanan).

 

 

Inisiatif untuk mengadaptasi karya-karya sastra klasik Melayu ke dalam bentuk teater, animasi, filem, dan platform digital merupakan langkah yang penting untuk memastikan kelestarian dan kecekapan warisan budaya kita.

 

Melalui usaha bersama pelbagai pihak, termasuk penggiat seni, penulis, pereka dan pelakon, kita dapat menghasilkan kandungan berunsur warisan yang dapat dinikmati oleh generasi masa kini dan akan datang. 

 

Kejayaan "Sakti Merong Mahawangsa" adalah satu contoh bagaimana warisan budaya boleh dihidupkan kembali dan terus relevan dalam zaman moden.

 

Kita perlu mendokong lebih banyak inisiatif seni seperti ini dan memberi sokongan kepada para penggiat seni tempatan agar warisan budaya kita terus berkembang dan dihargai di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

Pementasan seperti "Sakti Merong Mahawangsa" bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memperkaya jiwa dan minda penonton dengan nilai-nilai warisan dan keindahan karya-karya sastra lama yang bersemangat. 

 

Sungguhnya, ini adalah satu kebanggaan untuk menyaksikan kemegahan dan kehebatan karya seni yang mengaitkan tradisi dengan zaman moden.

 

 

hikayat

 

 

KEPULAUAN MELAYU | Ensiklopedia Berilustrasi Tamadun Dunia Silam menyebut pentingnya Hikayat Merong Mahawangsa dalam menceritakan keberadaan Kedah Zamin Turan. 

Menulis semua khazanah bangsa dalam pelbagai bentuk penting untuk mencetus rasa ingin tahu dan kelestarian seni, sastera dan sejarah. - DagangNews.com

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb