Warisan Budaya Kelestarian Alam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 07 Oct 2024 07:00 AM

WARISAN BUDAYA KELESTARIAN ALAM

 

 

WARISAN budaya merupakan khazanah berharga bagi sesuatu masyarakat kerana ia mencerminkan jatidiri, nilai serta kearifan tempatan yang telah diwarisi turun-temurun.

 

Dari sudut masyarakat Melayu, warisan budaya juga dilihat sebagai satu titik tolak yang amat penting dalam kehidupan seharian.

 

Francois Rene Daillie adalah seorang penulis dan penterjemah terkenal dari Perancis yang mencintai pantun dan budaya Melayu. Antara lain,  beliau menganggap Pantun Melayu adalah salah satu sastera terindah dunia. Dari menurut beliau, sastera ini merupakan jendela untuk melihat nurani dan naluri sebenar orang Melayu. 

 

Pada masa yang sama, dalam bukunya Alam Pantun Melayu, Daillie menulis bahawa terdapat kearifan dan falsafah yang sangat tinggi menjadi amalan dan  menjadi pedoman orang Melayu. Ini dicerminkan melalui kegiatan seharian samada dalam kekeluargaan, kegiatan kemasyarakatan, perantauan dan pembelajaran. Pemikiran aras tinggi juga diterapkan dalam ilmu seperti perundangan, ilmu maritim, senibina dan pertukangan, ilmu tib dan sastera. 

 

Dalam masyarakat Melayu, apabila menjalankan kegiatan seperti menangkap ikan dan menanam tanaman bukan sekadar sara hidup harian, orang Melayu tidak mencari rezeki lebih dari keperluan, tetapi ia menjadi satu amalan yang mengekalkan falsafah kelestarian. Orang Melayu tidak hanya memastikan keperluan asas keluarga mencukupi, tetapi juga memastikan kelestarian dengan alam sekitar.

 

 

Alam Pantun Melayu

 

 

Sifat kesederhanaan yang diperkatakan oleh Daillie adalah penting kerana ia membawa maksud bahawa orang Melayu tidak tamak haloba mengejar keinginan yang berlebihan atau mewah dalam kehidupan seharian. Ini menunjukkan sikap bersyukur dan menghargai apa yang ada, dan tidak mengambil sumber alam melebihi keperluan sebenar.

 

Kecekapan dalam pengurusan sumber alam juga ditekankan, di mana adab orang Melayu mengajar menghormati alam sekitar dan menggunakan sumber dengan penuh tanggungjawab.

 

Beliau mengutarakan bahawa bukankah ini akhirnya satu falsafah yang jika diamalkan dapat menyelamatkan dunia dari keadaan hari ini yang merosakkan alam sekitar dan kesejahteraan sejagat?

 

Secara keseluruhan, pandangan Daillie mengenai kehidupan orang Melayu yang menjalankan aktiviti harian menggariskan betapa pentingnya kesederhanaan, kecekapan, dan kelestarian dalam hubungan dengan alam. Amalan ini bukan sahaja membawa manfaat praktikal, tetapi juga membawa kesejahteraan dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu.

 

Sikap gelojoh memakan semua ikan di sungai adalah perangai hodoh hantu jembalang dalam kisah Badang yang menunjukkan perangai sedemikian tidak sealiran dengan Orang Melayu. 

 

Inilah petunjuk dan bukti penting bahawa dalam warisan budaya Melayu wujud konsep kelestarian alam. Ia berdasarkan sikap tidak tamak menjarah hasil bumi dan lautan.

 

Masyarakat Melayu telah lama mengamalkan cara mengitarkan sumber alam, tanpa menyebabkan kerosakan atau kemudaratan lingkungan hidup.

 

Contoh amalan lestari orang Melayu

1. Membina rumah lestari dengan persekitaran dengan menggunakan bahan dari persekitaran

2. Tidak menggunakan besi atau paku yang mengaratkan kayu

3. Menggunakan sisa makanan untuk baja dan makanan ternakan

4. Menggunakan semua bahagian pokok kelapa

5. Membuat perkakas dan hiasan indah dari bahan seperti buluh, kayu dan daun

6. Menyimpan bahan makanan dalam daun, buluh dan pasu tembaga

7. Tekstil menggunakan pewarna dari tumbuhan

8. Membina kaoal menggunakan sumber dari hutan, buluh dianyam untuk layar

 

 

Selain itu, sejarah juga mencatatkan contoh kebijaksanaan pemerintah Melayu dalam memelihara alam sekitar. Raja Sriwijaya pertama Dapunta Hyang Sri Jayanasa pada tahun 683M telah menubuhkan Taman Sri Kesktra, yang menonjolkan sikap prihatin serta keberpihakan kepada kesejahteraan rakyat.

 

Tindakan ini menunjukkan kesedaran akan kepentingan menjaga alam sekitar demi kelestarian alam dan kehidupan manusia secara menyeluruh.

 

Prasasti dari kerajaan Srivijaya dalam Bahasa Melayu Kuno hari ini ditempatkan di Muzium Nasional Indonesia. 

 

 

hikayat
                               Raja Sriwijaya pertama Dapunta Hyang Sri Jayanasa

 

 

Raja Dapunta Hiyang Seri Jayanasa menghadiahkan satu taman dan persekitaran yang indah, menekankan kesejahteraan semua makhluk hidup. 

 

“Semuanya ditanam di sini; nyiur, pinang, enau, rumbia dan lain-lain yang (berbentuk) pokok yang dimakan buahnya, serta aur, buluh betung dan seumpamanya. Begitu juga taman-taman lain dengan empangan dan kolam; semua yang saya lakukan - semua perbuatan baik, bertujuan untuk kebahagiaan semua makhluk hidup dan tidak bernyawa.”


 

Pendekatan Raja Dapunta yang mementingkan alam sekitar mencerminkan masyarakat yang menghargai keindahan alam semula jadi dan berusaha untuk kebajikan semua makhluk, sejajar dengan prinsip-prinsip abadi Matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-Bangsa Bersatu hari ini.

 

 

esg

 

 

Warisan budaya lestari masyarakat Melayu telah menjadi mercu kejayaan dalam mewujudkan keseimbangan antara keperluan manusia dengan kelestarian alam.

 

Keaslian nilai-nilai luhur yang terkandung dalam warisan budaya tersebut perlu diteruskan serta dipelihara sebagai panduan bagi bakal pewaris akan datang untuk meneruskan amalan dan falsafah  tersebut dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan sejagat. - DagangNews.com

 

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb