Skip to main content

ABAC cipta sejarah hasilkan 2 laporan APEC 2020

Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC)

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) mencipta sejarah tersendiri dengan menghasilkan dua laporan penting untuk Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.

Berbeza dengan sebelumnya, ABAC hanya menghasilkan satu laporan yang mengandungi cadangan mengenai hala tuju pemantapan pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan perdagangan rantau berkenaan.

Kebiasaan itu berubah bagi APEC 2020 apabila majlis penasihat berkenaan perlu menyediakan satu laporan khas mengenai impak COVID-19 bersama cadangan yang perlu dilakukan bagi memulihkan semula ekonomi serantau.

Selain menyifatkan pencapaian itu sebagai suatu yang amat bermakna bagi ABAC, Pengerusinya, Datuk Rohana Mahmood berkata, siapnya dua laporan itu dalam masa yang ditetapkan menunjukkan komitmen aggotanya untuk mengembalikan ekonomi serantau di landasan pemulihan yang kukuh.

"Tidak ada ekonomi boleh menjayakannya sendiri dan kita perlukan kerjasama dan kesepakatan dalam kalangan semua ekonomi APEC untuk menuju ke arah pengukuhan ekonomi.

"Di sebalik cabaran yang dicetuskan pandemik COVID-19, ia membuka peluang kepada 21 ekonomi APEC yang mewakili 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia menetapkan semula ekonomi masing-masing pasca pandemik," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pandemik yang melanda seluruh dunia juga mendorong kerjasama dan kesepakatan lebih mendalam antara anggota kerjasama ekonomi.

 

Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.
Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.

 

Dengan itu, ABAC akan mencadangkan kepada 21 ekonomi APEC berkaitan integrasi, inovasi, keterangkuman dan kemampanan untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi pasca COVID-19.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan agar sempadan serantau dibuka semula dan rangka kerja serantau mesti dibangunkan bagi mengekang gangguan rantaian bekalan.

"Pekerja juga perlu dilatih semula dengan tumpuan dalam pendigitalan, yang mana segmen berkenaan berperanan penting dalam pemulihan ekonomi pasca COVID-19.
 
"Pendigitalan menjadi pemacu utama untuk menyokong pemulihan ekonomi dengan memperkukuhkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi pendigitalan. Sebanyak 97% ekonomi APEC adalah PMKS," jelasnya lagi. - DagangNews.com