Adex dijangka kembali rancak pada Q4, Kenanga kekal saranan 'overweight' | DagangNews Skip to main content

Adex dijangka kembali rancak pada Q4, Kenanga kekal saranan 'overweight'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Pembukaan semula ekonomi secara berperingkat dijangka menyaksikan peningkatan perbelanjaan pengiklanan (adex) merentasi semua platform media pada suku keempat ini, menurut Kenanga Research. 

 

Penganalisisnya, Clement Chua berkata, perkembangan ini didorong oleh kadar vaksinasi yang tinggi dan kes jangkitan COVID-19 semakin berkurangan. 

 

"Sejajar dengan peningkatan adex, kami berpendapat segmen yang kurang menyerlah akan kembali pulih pada suku keempat seperti segmen acara dan pameran Star Media Group Bhd. yang menyumbang 5% kepada hasil kumpulan sebelum pandemik dan ketika ini hanya merekodkan 1% pertumbuhan. 

 

"Peningkatan ini juga akan membantu mengurangkan kerugian yang dialami segmen digital dan akhbar Star pada masa akan datang," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Data yang dikumpul Nielsen pada suku ketiga mendapati jumlah adex kasar meningkat sebanyak 18% kepada RM4.2 bilion bagi tempoh 9 bulan 2021 berbanding RM3.5 bilion untuk tempoh sama tahun lalu didorong peningkatan 50% menerusi adex segmen televisyen siaran percuma (FTA TV) yang menyumbang peratusan lebih besar daripada jumlah perbelanjaan iklan. 

 

Bagaimanapun, adex bagi suku ketiga 2021 susut 3.3% seiring penurunan dalam segmen seperti akhbar dan radio yang masing-masing susut 22% dan 29% manakala adex FTA kekal mendatar. 

 

Chua berkata, prestasi suku ke suku yang lebih buruk itu disebabkan sekatan pergerakan di seluruh negara sekali gus menjejaskan adex bagi tempoh berkenaan. 

 

"Apa yang menarik, tanpa sumbangan adex digital, yang mana Nielsen menambah 4 laman web dalam liputan digitalnya, keseluruhan adex meningkat sebanyak 7%.

 

"Ini meunjukkan penggunaan adex digital akan terus berkembang, dengan kebanyakannya tidak terganggu oleh perubahan iklim ekonomi kerana penggunaan dan jangkauannya yang mudah," jelasnya.

 

Kenanga Research bagaimanapun mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor media berbanding 'neutral' sebelum ini. 

 

Ia percaya pembukaan ekonomi pada separuh kedua akan memberi impak positif kepada pemain industri media sekali gus menjadikan sektor ini sebagai pesaing kuat bagi pilihan saham pemulihan ekonomi.

 

"Secara keseluruhan, kami menggemari saham Astro Malaysia Holdings Bhd. (harga sasaran : RM1.22) kerana memiliki hasil dividen yang menarik sebanyak 7.6% sejajar dengan hasratnya untuk muncul sebagai pengagregat OTT menjelang 2023. 

 

"Di samping itu, Media Prima Bhd. (harga sasaran : 69 sen) pula mempamerkan margin yang lebih baik berikutan pelaksanaan langkah pengoptimuman kos yang dilaksanakannya baru-baru ini," katanya. - DagangNews.com