AEON komited bebas daripada rasuah | DagangNews Skip to main content

AEON komited bebas daripada rasuah

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin mengetuai majlis lafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah yang dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

 

 


KUALA LUMPUR 21 Okt. - Pengurusan dan warga kerja AEON Co. (M) Bhd. dan dan AEON Big (M) Sdn. Bhd. komited untuk bebas daripada rasuah dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

Komitmen itu dizahirkan pada majlis lafaz dan IBR yang dianjurkan dengan kerjasama SPRM di ibu
pejabatnya, AEON Home Ground di AEON Taman Maluri Shopping Centre, semalam.

 

Majlis tersebut yang diadakan secara hibrid, sesi tersebut diketuai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin yang turut disertai hampir 200 orang secara fizikal dan maya termasuk Ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan sebahagian daripada warga kerja AEON.

 

Yang turut hadir secara maya, Pengerusi AEON, Datuk Iskandar Sarudin dan disaksikan Timbalan Pesuruhjaya, Datuk Razim Mohd Noor, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM.

 

Menurut Shafie, lafar dan ikrar itu amat penting untuk dilaksanakan supaya dapat memberikan kesedaran dan menerapkan perasaan bencikan rasuah di setiap peringkat di AEON.

 

“Apabila setiap tindakan atau keputusan yang diambil berasaskan kepada integriti, tanpa diselubungi gejala rasuah, syarikat ditadbir urus dengan baik dan pastinya berada di landasan yang betul untuk terus berkembang maju. 

 

"AEON bertekad untuk terus mendukung IBR dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dan akan sentiasa menyokong pihak SPRM dalam usaha membanteras rasuah," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

IBR oleh SPRM merupakan satu inisiatif yang memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh kepimpinan syarikat dan warga kerjanya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu untuk memastikan setiap daripada mereka yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah.

 

Sehubungan itu, AEON akan meneruskan IBR dalam memastikan warga kerjanya dan juga ekosistem
yang merangkumi lebih daripada 12,000 orang turut memberikan komitmen bebas rasuah. - DagangNews.com