AEON ubah waktu terima bekalan, elak kenaikan harga sepanjang PKP | DagangNews Skip to main content

AEON ubah waktu terima bekalan, elak kenaikan harga sepanjang PKP

AEON Co. (M) Bhd. (AEON)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Jun - Syarikat peneraju peruncitan, AEON Co. (M) Bhd. (AEON) membuat penjadualan semula terhadap waktu penerimaan bekalan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin berkata, perubahan tersebut dibuat bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi sekali gus dapat mengelak daripada berlakunya kenaikan harga barangan. 

 

"Kami di AEON sentiasa berbincang dengan pihak pembekal untuk mencari jalan bagi memastikan bekalan tidak putus.

 

"Kami juga menukar waktu penerimaan bekalan di mana kami menerima bekalan pada waktu malam hingga lewat pagi untuk memastikan bekalan sentiasa ada selain mengelak peningkatan kos kepada pihak pembekal.

 

"Dengan cara ini kami dapat mengawal kenaikan harga bekalan," katanya.

 

Shafie Shamsuddin
Shafie Shamsuddin.

 

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang dijalankan secara maya bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) AEON ke-36 hari ini.

 

Mengulas berkaitan rundingan bersama pihak pembekal, beliau memberitahu, langkah itu adalah perlu bagi memastikan jumlah bekalan mencukupi khususnya bagi barangan yang sukar diperoleh akibat pelaksanaan PKP.

 

"Kita ambil contoh kurang dari 10 hari lepas kita dikejutkan apabila bekalan sayuran mengalami kesukaran untuk dibekalkan dari Cameron Highland ke Kuala Lumpur dan tempat-tempat lain di Malaysia.

 

"Sejurus apabila kami menerima berita yang kebanyakkan petani di Cameron Highlands mengalami kesukaran untuk mengumpulkan bekalan sayuran (consolidate stock), kami bekerjasama dengan pembekal lain di Ipoh dan Johor untuk memastikan sayuran dapat dibekalkan," jelasnya lagi.

 

Usaha yang dibuat itu secara tidak langsung menjadikan alternatif untuk meningkatkan harga sayuran adalah pilihan terakhir. - DagangNews.com