AIA lancar perlindungan kesihatan mental untuk pekerja: Pertama di pasaran | DagangNews Skip to main content

AIA lancar perlindungan kesihatan mental untuk pekerja: Pertama di pasaran

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Memahami keperluan untuk membantu organisasi menangani masalah kesihatan mental di tempat kerja dengan lebih baik, AIA melancarkan penyelesaian kesihatan mental pertama dalam pasaran dengan kerjasama platform kesihatan mental digital Asia Tenggara, ThoughtFull.

 

Ketua Pegawai Penyelesaian Korporat AIA Bhd., Tung Hsiao Ley berkata, penyelesaian tersebut membolehkan majikan memberikan penjagaan yang lebih baik dan sokongan hujung ke hujung untuk kesejahteraan mental pekerja mereka. 

 

“Kami melihat semakin ramai tenaga kerja terpaksa bergelut dengan masalah kesihatan mental, yang telah diburukkan lagi oleh pandemik. Ia bukan sahaja memudaratkan kesejahteraan emosi seseorang individu itu, tetapi turut menjejaskan produktiviti negara. 

 

"Organisasi yang ingin memupuk persekitaran kerja yang sihat dan gembira untuk pekerja mereka dan pada masa sama terus mendahului persaingan mereka perlu memainkan peranan lebih aktif dalam menangani masalah kesihatan mental di tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Hsiao Ley, mereka telah lama menyokong kepentingan kesihatan mental di tempat kerja dan percaya bahawa ia perlu diberikan keutamaan sama seperti tumpuan yang kita berikan terhadap kesihatan fizikal. 

 

"Sebab itulah kami berasa sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan ThoughtFull bagi membawakan perkhidmatan kesihatan mental yang serba baharu dan inovatif ini kepada pelanggan korporat kami dan pekerja mereka, di bawah proposisi WorkWell with AIA.

 

“Dengan pelancaran penyelesaian kesihatan mental yang komprehensif ini, kami percaya bahawa kami telah berjaya menyediakan satu penyelesaian yang amat diperlukan pasaran. 

 

 

AIA

 

 

"Majikan kini boleh merasakan bahawa mereka disokong dalam usaha ke arah mengutamakan kesihatan mental pekerja mereka yang menawarkan akses kepada sokongan dan sumber yang akan membantu mencapai kualiti hidup lebih baik serta menghasilkan tenaga kerja lebih gembira, sihat dan produktif,” jelasnya.

 

Penyelesaian kesihatan mental baharu ini adalah sebahagian daripada "WorkWell with AIA", suatu proposisi di bawah Penyelesaian Korporat Menyeluruh (Total Corporate Solutions) syarikat berkenaan. 

 

WorkWell with AIA menawarkan pelbagai penyelesaian dan perkhidmatan bagi membimbing organisasi yang ingin memupuk dan meningkatkan kesejahteraan pekerja mereka.

 

Pekerja yang dilindungi penyelesaian itu akan diberikan akses eksklusif tanpa had kepada sesi bimbingan harian secara bersemuka bersama jurulatih kesejahteraan mental bertauliah, menjejaki tahap stress, keresahan dan kemurungan mereka serta jurnal bimbingan pemikiran melalui aplikasi ThoughtFull. 

 

Menerusi program kesejahteraan pekerja ThoughtFull, pekerja AIA melaporkan purata penurunan sebanyak 43% tahap kemurungan, keresahan dan stress.

 

Selain itu, pekerja yang mendapatkan perkhidmatan profesional kesihatan mental bertauliah menerusi aplikasi tersebut turut melaporkan perubahan positif dari segi pemikiran serta tingkah laku mereka. - DagangNews.com