Skip to main content

AirAsia dapat kelulusan pemegang saham tukar nama kepada Capital A

KUALA LUMPUR 27 Jan - AirAsia Group Bhd. mendapat kelulusan pemegang saham untuk menukar nama syarikat kepada Capital A Bhd., menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Cadangan itu diputuskan dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan hari ini secara maya setelah mendapat undian hampir 100% daripada kalangan pemegang saham.  

 

Pertukaran nama tersebut telah diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 28 Disember lalu dan dikhaskan untuk syarikat ini.

 

Pada 12 Oktober lalu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia seharusnya tidak lagi hanya dikenali sebagai hanya sebuah syarikat penerbangan kerana mereka kini adalah kumpulan perkhidmatan digital. 

 

Walaupun asasnya adalah industri penerbangan, tetapi kumpulan menawarkan lebih banyak perkhidmatan, seperti airasia Super App sendiri dengan lebih daripada 15 tawaran perjalanan dan gaya hidup berbeza yang melengkapi satu sama lain, serta cabang teknologi pendidikan yang terus berkembang iaitu airasia Academy. 

 

Malah, ia juga mempunyai cabang kargo dan logistik yang semakin berkembang iaitu Teleport serta perniagaan perkhidmatan kewangan BigPay yang menawarkan penyelesaian teknologi kewangan yang mantap dan bakal menjadi bank maya pertama di ASEAN.

 

Dengan nilai syarikat yang ditaksirkan lebih daripada AS$1 bilion, perniagaan digital AirAsia Group telah mencapai status Unikorn dalam jangka masa kurang daripada 2 tahun sejak kumpulan mempercepatkan momentum pertumbuhan perniagaan bukan penerbangan semasa sekatan perjalanan berikutan pandemik yang melanda di seluruh dunia. 

 

Syarikat itu kini yang diklasifikasi sebagai Nota Amalan 17 (PN17), sedang merangka pelan untuk menyelaraskan situasi kewangannya bagi menangani status tersebut.

 

Fernandes pada 14 Januari lalu berkata portfolio kumpulan yang kukuh dan pelbagai akan membolehkannya menjejaki penyelarasan kedudukan kewangannya dengan cepat dan telah mengesahkan daya maju perniagaannya yang kukuh pada masa depan.

 

Ketika ditutup petang ini, harga saham AirAsia susut 1 sen atau 1.69% kepada 58 sen dengan 5.31 juta saham diniagakan. - DagangNews.com