Akaun Simpanan UOB Lady's tawar perlindungan takaful percuma kanser wanita | DagangNews Skip to main content

Akaun Simpanan UOB Lady's tawar perlindungan takaful percuma kanser wanita

Ronnie Lim

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - United Overseas (Malaysia) Bhd. (UOB Malaysia) melancarkan Akaun Simpanan UOB Lady's sebagai penyelesaian kewangan dengan menggabungkan akaun simpanan dengan perlindungan takaful percuma untuk penyakit kanser dalam kalangan wanita.

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi (PFS), Ronnie Lim berkata, akaun simpanan tersebut adalah untuk membantu kaum wanita menambah wang simpanan di samping melindungi simpanan tersebut daripada enam kanser berkaitan wanita sekiranya mereka disahkan menghidap penyakit tersebut.

"Jumlah pemegang akaun bank wanita kami telah meningkat 49%  sejak 2017 menandakan bahawa lebih ramai wanita menyedari betapa pentingnya untuk menguruskan kewangan mereka.

"Sepanjang tiga tahun yang lepas, 45%  daripada jumlah tuntutan penyakit kritikal PruBSN adalah daripada wanita, di mana dua tuntutan teratas berkaitan wanita merupakan kanser payudara dan kanser ovari.

"Memandangkan jumlah kes kanser  yang dikesan pada wanita semakin meningkat, kami ingin menggalakkan pelanggan wanita kami untuk melindungi simpanan mereka daripada kanser berkaitan wanita sambil menambahkan kekayaan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

UOB Malaysia telah bekerjasama dengan Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) bagi menawarkan perlindungan percuma untuk enam kanser berkaitan wanita sebagai sebahagian daripada Akaun Simpanan UOB Lady’s.

Jumlah perlindungan tersebut adalah berdasarkan baki purata bulanan yang dikekalkan dalam akaun mereka pada bulan lepas.

"Sebagai contoh, jika seorang pemegang akaun mengekalkan baki purata antara RM80,000 hingga RM100,000, beliau akan mendapat perlindungan sehingga RM100,000. Sekiranya beliau mempunyai simpanan lebih daripada RM100,000 secara purata, perlindungan tersebut akan meningkat kepada RM200,000," jelasnya.

Akaun Simpanan UOB Lady’s juga dilengkapi dengan manfaat pemeriksaan kesihatan tahunan bagi pemegang akaun yang mengekalkan baki purata sekurang-kurangnya RM20,000 untuk enam bulan terakhir.

Pemeriksaan kesihatan percuma ini juga boleh dipindah milik kepada tanggungan pemegang akaun, termasuk ibu bapa, pasangan dan anak.

Selepas menjadikan Malaysia sebagai pasaran kedua pelancaran Akaun Simpanan UOB Lady’s, UOB turut merancang pelancaran sama di rantau ASEAN pada tahun hadapan. - DagangNews.com