Al Rajhi umum 3 pelantikan baharu dalam kepimpinan tinggi bank | DagangNews Skip to main content

Al Rajhi umum 3 pelantikan baharu dalam kepimpinan tinggi bank

DARI kiri, Zarir Mohd Rawi, Nur Lynn Lau Abdullah dan Lum Kok Huat, masing-masing telah dilantik sebagai Pengarah Perbankan Runcit, Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Perundangan di Al Rajhi Bank Malaysia.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Al Rajhi Bank Malaysia mengumumkan tiga pelantikan baharu dalam kepimpinan kanan bank sebagai sebahagian daripada usaha kumpulan untuk menjadi bank Islamik asing utama di dalam negara. 

 

Ini melibatkan pelantikan Zarir Mohd Rawi sebagai Pengarah Perbankan Runcit, Nur Lynn Lau Abdullah sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Lum Kok Huat sebagai Ketua Perundangan.

 

Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Al Rajhi Bank, Arsalaan Ahmed berkata, menerusi pelantikan Zarir, Nur Lynn dan Kok Huat, bank mempunyai kelebihan dalam mengembangkan kehadirannya di pasaran pengguna Islam tempatan. 

 

“Zarir, Nur Lynn dan Kok Huat akan membawa banyak pengalaman perbankan kepada jawatankuasa eksekutif kami, dan kami yakin dengan pelantikan mereka akan mendorong cita-cita kami sebagai sebuah bank Islamik nombor satu di Malaysia.

 

Arsalaan Ahmed
Arsalaan Ahmed

 

“Di Al Rajhi Bank, kami percaya bahawa masyarakat dan teknologi penting untuk kejayaan kami. Pelantikan strategik ini mencerminkan komitmen kami untuk berkembang dan melantik rakyat Malaysia yang berbakat ke dalam jawatan tertinggi dan melabur ke dalam pertumbuhan dan pembangunan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pelantikan Zarir yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi di bank berkenaan menekankan kepimpinannya untuk menerajui perniagaan runcit dan menonjolkan potensi penuhnya berdasarkan pengalaman luas beliau di dalam perbankan pengguna. 

 

Sebelum menyertai  Al Rajhi Bank, Zarir memegang jawatan kanan di Bank Negara Malaysia (BNM) dan CIMB Bank. 

 

Dalam peranan baharunya sebagai Pengarah Perbankan Runcit, Zarir dijangka menambah baik tawaran Al Rajhi Bank untuk memperoleh peluang pasaran yang kukuh dalam sektor pembiayaan Islamik.

 

Sementara itu, sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi, Nur Lynn menerajui Jabatan Transformasi Perniagaan Al Rajhi Bank. 

 

Menerusi pengalamannya yang luas dan berpelbagai, hasil daripada pengurusan projek transfomasi bank tersebut sejak tahun 2016, beliau bertanggungjawab untuk memantau keseluruhan fungsi operasi di Al Rajhi Bank. 

 

Memandangkan Al Rajhi Bank mengekalkan landasan pertumbuhan positif, Nur Lynn akan memastikan strategi perniagaan bakal dilaksanakan dengan baik. 

 

Sepanjang kerjaya beliau, Nur Lynn telah menjawat pelbagai jawatan kepimpinan kanan termasuk di Hong Leong Bank dan Kuwait Finance House.

 

Berhubung pelantikan Kok Huat, beliau mula menyertai Al Rajhi Bank pada Julai tahun ini. 

 

Sebelum itu, Kok Huat merupakan ahli Jawatankuasa Eksekutif yang dipertanggungjawabkan untuk memimpin dan menguruskan kumpulan pelaksana perundangan di HSBC Amanah Malaysia Berhad serta menggalas tugas sebagai Penasihat Undang-Undang Kanan untuk perniagaan perbankan borong Amanah.

 

Sepanjang perkhidmatannya di HSBC Amanah, Kok Huat menyumbang kepada pelbagai transaksi terkemuka di dalam ruang perbankan borong termasuk sukuk, pembiayaan Islamik berkaitan kelestarian, penyelesaian pembiayaan perdagangan Islam dan produk Islamik berstruktur. - DagangNews.com