AmBank, Lazada jalin kerjasama tawar pembiayaan perniagaan sehingga RM2 juta untuk perkasakan PMKS | DagangNews Skip to main content

AmBank, Lazada jalin kerjasama tawar pembiayaan perniagaan sehingga RM2 juta untuk perkasakan PMKS

KUALA LUMPUR 15 Ogos - AmBank Group telah bekerjasama dengan Lazada, platform e-dagang perintis Asia Tenggara, menawarkan pembiayaan perniagaan sehingga RM2 juta bagi memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di platform Lazada Malaysia untuk mengembangkan dan mengekalkan perniagaan dalam talian mereka.

 

Pengarah Urusan Perbankan Runcit AmBank, Aaron Loo berkata, kerjasama itu dijangka dapat membantu penjual tempatan di Lazada dengan memberi mereka peluang menjana modal untuk mengembangkan perniagaan secara dalam talian selain bangkit semula daripada kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

 

“Ini juga akan membuka peluang kepada pedagang AmBank untuk mengembangkan perniagaan mereka daripada luar talian (offline) kepada dalam talian pada platform perdagangan digital Lazada yang berkembang pesat. Kami sangat teruja untuk membantu pedagang-pedagang ini memulakan perjalanan digital mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Lazada Malaysia, Darren Rajaratnam berkata, perkongsian strategik dengan AmBank akan mengukuhkan ekosistem e-dagang dan menangani masalah kewangan yang dihadapi oleh kebanyakan PMKS.

 

“Dengan pinjaman mikro dan penyelesaian kewangan daripada AmBank, penjual tempatan kami akan dapat membina modal dan mengembangkan perniagaan dalam talian mereka,” katanya.

 

Selain itu, Darren menambah syarikat itu berharap untuk terus bekerjasama dengan AmBank dalam menyokong lebih banyak PMKS  mendigitalkan perniagaan, merapatkan jurang digital dan membawa lebih ramai usahawan tempatan di bawah Pakej Hari-Harimau New Seller Kickstarter Lazada Malaysia.

 

Penyelesaian pembiayaan AmBank akan disediakan untuk penjual Lazada di bawah Lazada Service Market, lapor Bernama.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai pembiayaan AmBank ini, boleh layari https://www.ambank.com.my/eng/promotions-page/Business-Financing-for-Lazada-Seller. - DagangNews.com