KUALA LUMPUR 9 Ogos - Maybank, AmBank dan Standard Chartered hari ini menyokong serta memperkenalkan perkhidmatan pembayaran mudah alih Apple Play yang kini tersedia di Malaysia.
Selain itu, Visa turut mengumumkan kerjasama dengan tiga buah bank tersebut untuk membawakan Apple Pay kepada para pemegang kadnya di negara ini.
Maybank mengumumkan bahawa kad kredit, debit dan prabayar Maybank dan Maybank Islamic Mastercard® dan Visa kini boleh digunakan dengan perkhidmatan Apple Pay di Malaysia dan Singapura bermula 9 Ogos 2022, manakala kad Maybank American Express® akan disertakan tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Datuk John Chong Eng Chuan berkata, inisiatif ini mempamerkan komitmen berterusan bank untuk menyediakan kaedah pembayaran digital yang lancar untuk pelanggannya.
“Dengan perkembangan berterusan dalam segmen perniagaan ini, disokong oleh bilangan pengguna kad sebanyak 15 juta di kedua-dua pasaran, Maybank berada di kedudukan yang baik untuk memanfaatkan kemudahan, keselamatan dan privasi Apple Pay yang akan memberi manfaat kepada pelanggan kami di kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Standard Chartered Malaysia turut membawakan pelanggannya perkhidmatan Apple Pay, cara pembayaran yang selamat, tanpa sentuhan dan mudah yang membantu pelanggannya.
Ia juga mengelak daripada menyerahkan kad pembayaran mereka kepada orang lain, menyentuh butang fizikal atau menukar wang tunai dan menggunakan kuasa iPhone untuk melindungi setiap transaksi.
Pengarah Urusan dan Ketua Perbankan Pengguna, Swasta dan Perniagaan Standard Chartered Malaysia, Sameer berkata, mereka berbangga menjadi salah satu bank pertama di Malaysia yang menyokong Apple Pay untuk menyediakan pembayaran yang mudah dan selamat kepada pelanggan.
"Apple Pay memberi kami peluang untuk berada di barisan hadapan dalam ekosistem dan sokongan kewangan digital yang berkembang pesat untuk mengukuhkan jejak tempatan kami melalui pendekatan 'digital-first'," katanya.
Dalam pada itu, CIMB Bank Bhd (CIMB Malaysia) pada masa ini tidak menyediakan perkhidmatan Apple Pay.
CIMB Malaysia berkata demikian dalam catatan Facebook sebagai respons kepada pertanyaan daripada seorang pelanggan bernama Hafis Idris.
"Hai Hafis Idris, terima kasih atas pertanyaan anda. Bagaimanapun, kami (CIMB Malaysia) pada masa ini tidak menyediakan perkhidmatan itu (Apple Pay). CIMB Bank sentiasa meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan kami," katanya.
Berdasarkan laporan media, Malaysia adalah negara ke-9 di Asia Pasifik serta pasaran kedua di Asia Tenggara yang menerima Apple Pay selepas pelancaran di Singapura yang berlangsung pada April 2016.
Untuk menggunakan perkhidmatan ini, pelanggan hanya perlu memegang iPhone atau Apple Watch mereka berhampiran terminal pembayaran untuk membuat pembayaran tanpa sentuh.
Untuk berbuat demikian, pengguna perlu terlebih dahulu menyimpan butiran kad bank mereka menerusi Apple Wallet mereka menggunakan iPhone. Setelah disimpan, mereka boleh mula mengesahkan pembayaran menggunakan Face ID atau Touch ID. - DagangNews.com