AME Elite Consortium yakin taman perindustrian Johor kekal jadi tarikan FDI | DagangNews Skip to main content

AME Elite Consortium yakin taman perindustrian Johor kekal jadi tarikan FDI

​ Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) bersama Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Insulet, Charles Alpuche (dua dari kanan) serta Pengarah Urusan Kumpulan AME Elite Consortium, Kelvin Lee (kanan) ketika majlis pecah tanah AME Elite i-TechValley di SiLC, Johor Bahru. ​
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Jun - Penyedia ruang industri bersepadu, AME Elite Consortium Berhad menyuarakan keyakinan mereka bahawa taman perindustrian di Johor masih lagi kekal sebagai tarikan pelaburan langsung asing (FDI).

 

Keyakinan itu disuarakan selepas mereka berjaya menarik kehadiran gergasi peranti perubatan Insulet Corporation yang kemudahan pembuatanya akan dibina di taman perindustrian terbaharu AME Elite i-TechValley di SiLC, Johor Bahru.

 

Kemudahan dengan keluasan 400,000 kaki persegi yang dijangka mula beroperasi pada pertengahan 2024, membuktikan kehadiran mereka di Asia Tenggara melengkapi kapasiti pembuatan di Amerika Syarikat dan China.

 

Pengarah Urusan AME, Kelvin Lee Chai berkata, dua taman perindustrian bersepadu pertama AME, i-Park di Indahpura dan Senai Airport City terbukti menjadi magnet FDI dan menyatakan keyakinan bahawa taman perindustrian i-TechValley akan mengikut jejak langkah itu.

 

"Kami mengalu-alukan kehadiran Insulet Corporation ke i-TechValley kerana ia merupakan kejayaan buat AME dan Malaysia kerana ia merupakan kemudahan pertama syarikat itu di Asia Tenggara.

 

"AME percaya bahawa perkembangan perniagaan harus diteruskan dan pada masa sama memastikan taman industri itu mematuhi piawaian antarabangsa yang sangat ketat bagi sektor perubatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kelvin berkata, lebih 70% penghuni di i-Parks, Indahpura serta Senai Airport City adalah syarikat multinasional dan kami yakin dengan penggunaan yang sama untuk i-TechValley akan mengukuhkan ketahanan rantaian bekalan. 

 

Beliau berkata, laporan terkini oleh Standard Chartered menyatakan bahawa FDI di Malaysia telah mencapai rekod tertinggi pada 2021 dan Asia Tenggara menjadi alternatif terbaik untuk hab pembuatan. - DagangNews.com