Tengku Muda Pahang letak jawatan Pengarah Bestinet berkuatkuasa 3 Oktober 2024 | DagangNews Skip to main content

Tengku Muda Pahang letak jawatan Pengarah Bestinet berkuatkuasa 3 Oktober 2024

Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah
Oleh Shamsiah Zulkafli

CYBERJAYA 18 Okt - Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, meletak jawatan sebagai Pengarah Bestinet Sdn Bhd, selepas 16 bulan dilantik pada Jun 2023.

 

Semakan terhadap pangkalan data Suruhanjaya Syarikat (CCM) mendedahkan, beliau tidak lagi disenaraikan sebagai pengarah syarikat, tetapi masih mengekalkan pegangan 6.5 peratus saham dalam syarikat yang mengendalikan Sistem Pengurusan Pusat Pekerja Asing (FWCMS) yang kontroversi.

 

Menurut surat bertarikh 3 Oktober 2024 daripada peguam Tengku Abdul Rahman kepada Bestinet yang dilihat Malaysiakini pada Khamis, beliau meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.

 

Surat peletakan jawatan itu tidak menyatakan sebarang sebab di sebalik keputusan berkenaan.

 

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Tengku Abdul Rahman, K Santhara enggan mengulas mengenai punca peletakan jawatan secara mengejut itu atas alasan tidak diberi kuasa oleh anak guamnya untuk bercakap dengan media mengenai perkara tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bestinet, Ismail Mohd Noor dan Abdullah Sher Kawi Jaafar, seorang penceramah motivasi dan kaunselor selebriti, kekal sebagai pengarah syarikat.

 

Tengku Abdul Rahman mengambil alih jawatan pengerusi daripada pengasas syarikat itu, Aminul Islam Abdul Nor.

 

Masih tidak jelas sama ada peletakan jawatan itu membabitkan peranannya sebagai pengerusi syarikat tersebut.

 

Rekod CCM menunjukkan, Abdullah Sher Kawi memegang pegangan kawalan sebanyak 93.45 peratus dalam Bestinet. - DagangNews.com