Sumbangan Tunai Rahmah ditingkatkan kepada RM13 bilion tahun hadapan, beri manfaat kepada 9 juta penerima | DagangNews Skip to main content

Sumbangan Tunai Rahmah ditingkatkan kepada RM13 bilion tahun hadapan, beri manfaat kepada 9 juta penerima

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - Kerajaan akan meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM10 billion kepada RM13 billion bermula tahun hadapan yang akan memberi manfaat kepada 9 juta penerima atau 60% penduduk dewasa negara ini.

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahan peruntukan RM3 billion itu membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700.

 

Beliau berkata, pada tahun hadapan sejumlah 4.1 juta penerima kategori isi rumah akan menerima SARA sebanyak RM100 ringgit sebulan berbanding 700,000 penerima tahun ini.

 

"Bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKAD penerima bermula April 2025 dan ini boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara. 

 

"Kategori bujang akan menerima STR 600 ringgit.

 

"Kita akui dan mendengar rungutan tentang kos sara hidup. Lantaran itu, kita mengambil langkah serta kebijakan ekonomi yang merupakan peningkatan peruntukan dan kadar maksimum bantuan tunai yang tertinggi pernah diberikan kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat," katanya semasa pembentangan Belanjawan 2025 di DEwan Rakyat, hari ini.

 

Anwar berkata, bantuan itu akan ditambah melalui peningkatan peruntukan bantuan tunai di Bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM2.9 billion. 

 

Katanya, kadar bantuan kebajikan bulanan rakyat miskin akan ditingkatkan dengan bantuan warga emas dinaikkan kepada RM600 sebulan berbanding RM500 sebulan manakala bantuan kanak-kanak keluarga miskin turut dinaikkan kepada RM250 berbanding RM200 bagi anak berusi berusia enam tahun ke bawah.

 

"Bantuan bagi seorang kanak-kanak berusi lingkungan tujuh hingga 18 tahun akan dinaikkan kepada RM200 daripada RM150 tetapi tertakluk kepada kadar maksimum RM1,000 sekeluarga," katanya.

 

Beliau berkata, untuk Wilayah Persekutuan, kadar bantuan am juga dinaikkan kepada RM150 berbanding RM100 dengan kadar maksimum sekeluarga sebanyak RM500 sebulan. 

 

"Saya menyeru semua kerajaan negeri untuk turut menambah baik kadar bantuan am negeri," katanya.
  

Perdana Menteri berkata, jika dihitung keseluruhan bantuan STR, SARA dan JKM, isi rumah miskin dengan tiga anak layak menerima bantuan lebih RM13,000 setahun berbanding RM11,000 Ketika ini.

 

Katanya, untuk warga emas miskin pula, layak menerima bantuan lebih RM10,000 setahun berbanding RM8,000 sebelum ini. 

 

"Ini bermakna tidak ada rakyat di Malaysia yang berpendapatan kurang RM1,100 sebulan dan ini belum mengambil kira bantuan daripada kerajaan negeri, zakat dan yayasan. 

 

"Maka, tanggungjawab kami adalah untuk pastikan tiada keciciran," katanya.- DagangNews.com