AmInvest kekal panggilan 'Pegang' Hartalega, harga purata jualan sarung tangan lebih rendah jejaskan pendapatan | DagangNews Skip to main content

AmInvest kekal panggilan 'Pegang' Hartalega, harga purata jualan sarung tangan lebih rendah jejaskan pendapatan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 21 Jan - AmInvest mengekalkan panggilan 'Pegang' ke atas Hartalega Holdings (Hartalega) dengan nilai saksama tidak berubah sebanyak RM6.00.

 

Ia turut mengekalkan anggaran pendapatan syarikat berkenaan dan tidak membuat sebarang perubahan terhadap anggaran pendapatan bagi FY22 sehingga FY24.

 

"Pendapatan dikekalkan masing-masing pada RM4.15 bilion, RM1.11 bilion dan RM904juta," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

AmInvest berkata, Hartalega menerima kesan minima daripada banjir baru-baru ini dengan beberapa kakitangannya terjejas dan oleh itu tidak dapat datang bekerja selama beberapa hari. 

 

Walau bagaimanapun, tiada kesan ke atas kemudahan pengeluaran sarung tangan milik kumpulan berkenaan.

 

"Untuk memastikan pertumbuhan jangka panjang, Hartalega sedang mengembangkan Loji 7nya walaupun kelajuan pengembangan telah perlahan. 

 

"Sehingga akhir September 2021, Hartalega telah menugaskan 8 daripada 10 barisan pengeluaran di Loji 7. Ini telah meningkatkan jumlah kapasitinya kepada 44 bilion keping setahun," katanya.

 

Hartalega dijangka mengeluarkan laporan kewangan 3QFY22 pada separuh pertama Februari. 

 

"Disebabkan oleh aliran berterusan harga purata jualan (ASP) yang lebih rendah untuk sarung tangan, kami menjangkakan pendapatan 3QFY22 menjadi QoQ yang lebih lemah.

 

"Mengenai kadar penggunaannya, kami menjangkakan ia berada dalam julat 60–70% memandangkan bekalan tinggi yang telah memasuki pasaran dalam tempoh setahun yang lalu," katanya. -DagangNews.com