AmInvestment kekal saranan 'Beli' saham Allianz, harga sasaran tidak berubah | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'Beli' saham Allianz, harga sasaran tidak berubah

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - AmInvestment Bank mengekalkan saranan Beli ke atas Allianz Malaysia (Allianz) dengan harga saksama tidak berubah pada RM17.70 sesaham.

 

Dalam nota penyelidikannya AmInvest berkata, Kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih teras yang lebih rendah sebanyak RM152 juta pada suku ketiga 2021. 

 

Menurutnya, ia disebabkan oleh penurunan dalam premium perolehan bersih (DEB) dan keuntungan nilai saksama yang lebih rendah sebanyak RM29 juta pada suku tersebut berbanding RM49 juta pada suku sebelumnya.

 

"Secara kumulatif, kumpulan itu melaporkan keuntungan bersih teras 9 bulan 2021 sebanyak RM439 juta selepas melucutkan peruntukan untuk potensi tuntutan daripada benefisiari pemegang polisi yang telah meninggal dunia berdasarkan penyenaraian oleh Jabatan Pendaftaran Negara berjumlah RM62 juta.

 

"Untuk pendapatan teras 9M21, kami juga telah mengecualikan peruntukan konservatif yang diambil untuk kematian COVID-19 sebanyak RM89 juta secara keseluruhan.

 

"Pendapatan teras 9M21 adalah dalam jangkaan kami, membentuk 76.6% daripada anggaran. Sementara itu, ia melebihi unjuran konsensus yang membentuk 89.0% daripada ramalan," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Hasil operasi kumpulan insurans itu meningkat sebanyak 7.7% tahun ke tahun untuk tempoh 9 bulan tahun ini disokong oleh premium perolehan kasar (GEP) dan pendapatan pelaburan yang lebih tinggi. 

 

Nisbah gabungan 9 bulan pertama 2021 Allianz meningkat kepada 95.0% berbanding 98.4% pada tahun sebelumnya disokong sebahagian besarnya oleh nisbah komisen dan tuntutan yang lebih rendah. 

 

"Kami percaya ini disebabkan oleh sekatan yang dikenakan untuk menguruskan gelombang baharu COVID-19.

 

"Aktiviti penjualan perniagaan insurans am dan hayatnya terjejas pada suku tersebut," katanya. -DagangNews.com