Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'overweight' terhadap sektor tenaga dengan jangkaan peningkatan jualan pada FY2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mac - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor tenaga dengan unjuran peningkatan jumlah jualan sebanyak 1.7% bagi FY2022F.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan yang dicatatkan Tenga Nasional Berhad (TNB) adalah sama seperti jangkaan mereka namun keuntungan syarikat seperti Malakoff dan YTL Power gagal mencapai sasaran akibat beberapa perkara seperti kenaikan harga bahan api.

 

Katanya, jumlah jualan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia meningkat sebanyak 1.2% pada FY2021 berbanding penurunan 5% pada FY2020 dan ia disumbangkan oleh sektor industri dan kediaman.

 

"Peningkatan jualan dalam sektor industri adalah sebanyak 2.5% pada FY2021 manakala sekor kediaman menggunakan 5.2% tenaga elektrik namun permintaan bagi sektor komersial menurun sebanyak 3.7% pada tahun kewangan sama.

 

"Bagaimanapun kami menjangkakan berlaku peningkatan jualan tenaga elektrik pada FY2022F dan ia adalah selaras dengan jangkaan Tempoh Regulatori Ketiga (RP3).

 

"Kami juga percaya permintaan dalam sektor komersial untuk tenaga elektrik akan meningkat pada FY2022 selepas ditutup hampir sepenuhnya pada FY2021," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu percaya bahawa mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) akan membantu menyerap kenaikan kos bahan api namun kenaikan kos arang batu dan gas akan memberi impak kepada surcaj tarif yang lebih tinggi kepada sektor komersial dan perindustrian pada 2H2022.

 

Dalam perkembangan sama, bekalan arang batu dan gas TNB tidak terjejas akibat krisis Rusia-Ukraine kerana hanya kurang 10% bekalan arang batu syarikat itu dari Ukraine.

 

"Bekalan arang batu TNB adalah dari Indonesia dan Australia," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' untuk saham TNB pada harga RM12 sesaham dan saranan 'pegang' untuk Malakoff dengan harga RM0.79 dan YTL pada harga RM0.67. - DagangNews.com